25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kejayaan PKRC MAEPS 2.0 hasil kolaborasi 19 agensi

Meskipun pelbagai cabaran getir dihadapi dari setiap sudut namun hasil kerjasama yang baik dari semua pihak membolehkan segala kegetiran itu dapat diatasi - Dr Shahabuddin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SETELAH 14 bulan beroperasi dan mengendalikan 166,072 pesakit COVID-19 serta meringankan beban hospital-hospital di Semenanjung khususnya di Lembah Klang, akhirnya Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) menamatkan operasinya mulai esok.

Pastinya, PKRC ini telah meninggalkan seribu satu kenangan pahit dan manis bukan sahaja kepada para pesakit yang pernah ditempatkan di sini, apatah lagi bagi kalangan anggota barisan hadapan yang terlibat memastikan pengurusannya berjalan lancar.

Meskipun pelbagai cabaran getir dihadapi dari setiap sudut, ternyata hasil kerjasama yang baik dari semua pihak termasuk tindakan segera serta kesiapsiagaan yang diambil membolehkan segala kegetiran itu dapat diatasi.

Perkara itu dikongsikan Pengarah PKRC MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim antara ‘orang kuat’ dalam pengurusan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 selama ini.

Beliau berkata, pada awal penubuhan PKRC MAEPS, menjadi cabaran terbesar negara, dengan misi utama adalah bagi menstabilkan sistem kesihatan di Lembah Klang.

DR SHAHABUDDIN IBRAHIM

“Di peringkat awal, pengambilan pesakit hanya membabitkan pesakit bukan wargananegara bagi kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

“Namun pada 24 Januari 2021, ia dinaik taraf kepada PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 setelah mula menerima pesakit kategori 3 (radang paru-paru) dan 4 (memerlukan bantuan pernafasan) dengan skala yang sederhana.

 “Di sini, setiap keputusan yang dibuat, adalah bergantung kepada kehendak semasa dalam usaha menyediakan rawatan sebaiknya untuk pesakit COVID-19 termasuk dari segi kapasiti penggunaan katil,” katanya kepada Edisi 9.

Menurut beliau, uniknya di sinilah satu-satunya PKRC yang menubuhkan unit kesihatan mental dan psikologi untuk pesakit dan kakitangan.

“Kewujudan unit itu sebagai usaha kita dalam membantu memberikan perkhidmatan secara tidak langsung kepada pesakit dan kakitangan yang menghadapi tekanan serta bebanan. Alhamdulillah, usaha ini sedikit sebanyak memberi sokongan moral untuk kita terus bersemangat,” katanya.   

Jelasnya, kelancaran PKRC MAEPS 2.0 selama beroperasi ini adalah hasil daripada kolaborasi bersama antara 19 agensi yang diterajui Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA).

Advertisements

“Di samping itu, turut terlibat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dengan kekuatan anggota harian dianggarkan seramai lebih 1,500 kakitangan,” katanya.

“Satu penghormatan untuk berkhidmat di sini selama tiga bulan dan pada hari terakhirnya.

“Semua kakitangan di MAEPS akan kembali ke PTJ (pusat tanggungjawab) masing-masing, hospital di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor). Aset akan diagihkan ke hospital lain,” katanya.

Berikutan penutupan PKRC MAEPS 2.0, beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor dan JPBN Wilayah Persekutuan bersetuju untuk membuka PKRC negeri yang lebih kos efektif sebagai alternatif.

Katanya, Selangor akan membuka dua PKRC (pusat kuarantin) yang lebih kecil supaya beberapa kakitangan dan aset akan dihantar ke sana juga, dan berkemungkinan akan turut dibuka di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, pesakit kategori tiga hingga lima akan dimasukkan ke Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rehabilitasi Cheras bagi kes-kes geriatric serta hospital lain sekitar Lembah Klang.

“Kebanyakan pesakit dalam kategori satu dan dua pula menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, MAEPS dijadikan PKRC selepas dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tujuan penempatan pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan.

Berdasarkan rekod, PKRC MAEPS 1.0 mula beroperasi pada 30 Mac 2020 dan tamat pada Julai 2020 namun pada 9 Disember 2020, PKRC MAEPS 2.0 diaktifkan semula berikutan peningkatan kes COVID-19 dengan mendadak susulan pelaksanaan program saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 yang beroperasi di tujuh dewan boleh menampung sehingga 5,000 pesakit pada satu-satu masa.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan