30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pendakwaan edar dadah isteri bekas ahli politik kekal

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan isteri bekas Ketua Pemuda Bersatu, Adam Asmuni bagi menggugurkan tiga pertuduhan mengedar dan menanam dadah jenis kanabis yang dihadapinya.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam memaklumkan perkara itu semasa kes Lyiana Roslee disebut di hadapan Majistret Farah Nasihah Anuar di Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

“Pihak pembelaan menghantar representasi dan ia ditolak, maka pertuduhan terhadap Lyiana masih kekal di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang turut memohon satu tarikh untuk menyediakan izin bagi memindahkan kes pasangan suami isteri itu ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Nur Mustanir Md Nor, yang mewakili Lyiana dan turut menyebut bagi pihak peguam Adam yang tidak dapat hadir ke mahkamah, berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan kimia sudah siap namun kes itu masih belum dipindahkan.

“Saya mohon tarikh sebutan terakhir hanya untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi memandangkan penyediaan izin di pihak pendakwaan tidak membabitkan proses yang rumit kerana laporan kimia telah siap,” katanya.

Mahkamah menetapkan 11 Mac untuk sebutan kes.

Adam tidak mengemukakan representasi kepada AGC dan hanya Lyiana yang berbuat demikian pada tahun lalu.

Lyiana, 35, dan Adam, 36, didakwa pada 16 Februari 2021 namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu membabitkan hukuman mati yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengedar 1.58 kilogram kanabis dan 7.87 liter cecair dadah jenis sama di sebuah rumah di Duta Residensi, Ampang pada 7.30 malam 20 Januari 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan, ahli perniagaan serta suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa menanam sembilan pokok disyaki ganja di tempat, tarikh serta masa sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(A)(3) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan