24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pelajar IPT kembali ke kampus bermula 1 Mac

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PELAJAR institut pengajian tinggi (IPT) dibenarkan untuk kembali semula ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 ke-12 semalam yang memperhalusi cadangan daripada KPT berhubung kemasukan pelajar ke IPT, iaitu universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.

Bagaimanapun menurut beliau, dalam usaha memastikan kemasukan pelajar itu dilaksanakan dengan selamat, KPT bersama KKM telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang wajib dipatuhi.

“Kemasukan pelajar akan dilaksanakan dengan jumlah kemasukan pelajar adalah 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing.

“Pelajar dan staf yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus. Namun bagi pelajar dan staf IPT yang tidak divaksinasi lengkap, mereka perlu membuat ujian RT-PCR dan berkeputusan negatif tiga hari sebelum masuk ke kampus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, ujian pengesanan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-Ag perlu dilakukanseminggu sekali bagi mereka yang tidak divaksinasi lengkap, mengikut Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan oleh KKM.

Advertisements

“Bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia. Mereka juga wajib menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama lima hari.

“IPT mestilah mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dan sentiasa mematuhi SOP pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat.

“Pelaksanaan PdP secara hibrid atau secara dalam talian dibenarkan kepada IPT,” katanya.

Menurut beliau lagi, semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh KKM selain pelajar yang pulang ke kampus juga wajib terus mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan