MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar runsing melihat jumlah penerima dos penggalak di negeri Kelantan masih rendah terutamanya apabila Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri berkenaan semakin penuh.
Sambil menggunakan dialek Kelantan, beliau mengajak seluruh penduduk negeri itu agar mengambil dos penggalak dan melengkap vaksinasi masing-masing bagi mengelak peningkatan jangkitan Covid-19.
“Ambo runsing, ICU sana koho penuh. Ambo mitok sangat puok kita di Kelate pakat cocok vaksin & booster (Saya runsing, ICU di sana semakin penuh. Saya minta sangat rakyat Kelantan cucuk vaksin dan ambil dos penggalak).
“Kementerian Kesihatan (KKM) saye ore Kelate, pakat gi cocok deh (KKM sayang orang Kelantan, tolong pergi cucuk (vaksin),” katanya menerusi ciapan di twitternya hari ini.
Berdasarkan data CovidNow, sebanyak 27.7 peratus daripada jumlah penduduk dewasa negeri itu telah mengambil suntikan dos penggalak Covid-19 iaitu paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
Ini bermakna, secara keseluruhannya Kelantan sudah memberikan sebanyak 2,298,896 dos suntikan vaksin kepada penduduknya.
“Daripada jumlah berkenaan, 1,020,322 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan 1,005,200 lengkap dua dos vaksin.
“Selain itu, hanya 281,219 sudah menerima dos penggalak,” merujuk data CovidNow.
Selain itu, negeri itu juga mencatatkan 94 peratus kadar penggunaan di ICU manakala sudah melebihi 100 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU. – Edisi 9