34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Sokongan UMNO kepada Ismail Sabri diperkukuh – MKT

Mesti Baca

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah kekal malah perlu dimantapkan lagi.

Perkara itu dirumuskan dalam Mesyuarat Bulanan MKT yang berlangsung di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat juga memutusan agar parti itu bersiapsiaga bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu sekitar 5.8 juta.

Beliau berkata, ini memastikan perjalanan parti itu berlangsung dengan baik dalam melaksanakan pelbagai program bagi mengadapi pengundi tersebut.

“Majlis Kerja Tertinggi telah memutuskan agar segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti berjalan dengan baik dalam membuat pelbagai program bagi menghadapi pengundi 18 tahun dan pengundi baharu yang jumlahnya sekitar 5.8 juta orang,” katanya dalam kenyataan.

Mesyuarat pertama bagi tahun 2022 itu dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Ahmad berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan dilangsungkan pada 16 hingga 19 Mac 2022 dan dijalankan secara fizikal.

Katanya, perhimpunan bermula dengan perasmian sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 16 Mac.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO akan dirasmikan oleh Ahmad Zahid pada 18 Mac 2022.

“Kesemua 14 perwakilan setiap Bahagian akan dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2021 dan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid.

“Kesemua lima orang Perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri Perhimpunan Agung masing-masing pada kali ini.

“Walaupun demikian, SOP tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan Aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain,” katanya.

Ahmad berkata, mesyuarat MKT kali ini juga mahukan sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari dapat mengumpul cadangan bernas agar Malaysia menjadi negara yang terhindar daripada banjir besar pada masa akan datang.

Katanya, banjir yang melanda negara pada Disember lalu dan bulan ini merupakan sesuatu yang luar jangka dan mengalu-alukan pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan.

“Mesyuarat mengambil ingatan tentang pengurusan banjir yang perlu diperbaiki terutama di negeri Selangor,” katanya.

Pada masa yang sama, kata Ahmad, MKT UMNO turut merakan ucapan terima kasih kepada ahli dan pemimpin parti di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.

Antaranya ialah kakitangan Ibu Pejabat UMNO, Biro Kebajikan UMNO, Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Bencana Banjir Barisan Nasional, Skuad Sayang, Skuad Sabil, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri, UMNO Bahagian dan Cawangan terutamanya di kawasan-kawasan yang terlibat banjir. – Edisi 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan