25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MRA terus bantu mangsa banjir sehingga Mac

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA Relief Agency (MRA) akan meneruskan program bantuan kepada mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas sehingga dua atau tiga bulan lagi.

Ini kerana, menurut Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman, impak bencana banjir yang melanda tempoh hari sangat meluas yang memerlukan bantuan secara berterusan.

Menurut beliau, sejak musibah banjir melanda, MRA segera melaksanakan operasi menghantar bantuan kepada mereka yang terkesan di seluruh negara.

“Sehingga 12 Januari (semalam), MRA telah beroperasi di 133 lokasi melibatkan sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dan Sabah.

“Bantuan yang telah dihulurkan dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang berupa bantuan bantuan makanan, sumbangan barangan bantuan banjir, barangan mencuci, perubatan, pakaian, perkhdimatan klinik bergerak dan perkhidmatan mencuci rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Daud berkata, MRA juga telah menggerakkan lebih 2,800 sukarelawan di seluruh negara untuk melaksanakan program yang memberi manfaat kepada 35,000 mangsa.

Beliau berkata, Program Cuci-cuci Celcom-MRA yang digerakkan telah membersihkan lebih 170 buah rumah dan 15 bangunan komuniti yang terjejas akibat bencana tersebut.

“Sebanyak 15 unit generator, 15 unit pam air dan 30 unit jet air beserta ratusan kit kelengkapan mencuci telah ditaja oleh Celcom Axiata Sdn Bhd kepada MRA untuk memudahkan pelaksanaan program cuci cuci ini diadakan di seluruh negara.

“Bagi bantuan berupa makanan, hampir 20,000 pek makanan telah diedarkan kepada mereka yang terkesan di dalam bentuk makanan panas bermasak, pek sedia dimakan dan pek makanan bulanan mengikut sesesuaian.

“Sewaktu banjir sedang memuncak, MRA telah melaksanakan program dapur komuniti yang menyediakan 2000 pek makanan masak setiap hari untuk diedarkan ke PPS terlibat,” katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata, bantuan barangan bukan makanan seperti toto, bantal, kit kebersihan yang terdiri daripada kelengkapan diri, kit solat, tuala wanita dan lampin kanak kanak dan dewasa juga diedarkan kepada orang awam.

Pada masa yang sama MRA juga membuka klinik bergerak untuk memberi rawatan kepada mangsa-mangsa banjir yang dijangkiti pelbagai penyakit bawaan air.

Untuk itu, pihaknya telah menggerakkan 35 buah klinik dan telah merawat seramai 1,700 orang pesakit.

“MRA ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada korporat dan yayasan yang telah menyediakan dana bantuan banjir kepada MRA untuk menggerakkan bantuan ke seluruh negara.

“Antaranya Celcom Axiata, Yayasan CIMB, Yayasan UEM, Yayasan NAMA, Yayasan Hasanah, Yayasan OSK, Yayasan at Tarmidhi, Syarikat Uniqlo Malaysia, Corpoate Guarancee Corporation (CGC), Volkswagen, Global Sadaqah dan Yayasan NOAH,” katanya.

Tambah beliau, MRA mengalu-alukan sumbangan daripada orang perseorangan, yayasan atau korporat melalui akaun CIMB Malaysian Releif Agency Foundation 86-000-59478 atau boleh hubungi talian 03-91744672 untuk maklumat lanjut dan pertanyaan. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan