26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PM hubungi Rohana, akan bantu dapatkan kerakyatan

Mesti Baca

KISAH gadis Melayu yang dijaga seperti anak sendiri oleh wanita warga emas berbangsa Cina sejak berusia dua bulan mendapat perhatian Perdana Menteri.

Rohana Abdullah, 22, menerima panggilan daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan bantuan mendapatkan kerakyatan dan mengambil keterangan daripada ibu angkatnya, Chee Hoi Lan.

Ismail Sabri menerusi perkongsian video di Instagram yang dimuat naik oleh pegawai medianya berkata, beliau akan menghubungi Pejabat Pendaftaran pada Isnin (hari ini) bagi menyelesaikan isu yang dihadapi Rohana.

Kisah Rohana dan Hoi Lan sebelum ini tular dalam media sosial apabila wanita berusia 83 tahun itu sanggup menjaganya seperti anak sendiri sejak berusia dua bulan lagi.

Malah, Hoi Lan juga yang telah menyara segala keperluan Rohana termasuk mengeluarkan wang belanja untuk menghantar Rohana ke Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) selain menyediakan makanan halal sepanjang tinggal bersamanya.

Warga emas itu berharap Rohana mendapat taraf kewarganegaraan dan mempunyai kad pengenalan bagi memudahkan masa depannya kelak.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, setakat ini pihaknya juga menerima maklum balas daripada agensi berkaitan berhubung isu ini.

“Insya-Allah kita doakan ada pengakhiran baik. Terima kasih kepada mereka yang bertanyakan isu ini,” katanya.

Rohana ditinggalkan oleh ibunya yang merupakan warga Indonesia di sebuah tadika, tempat Hoi Lan bekerja pada 2000 kerana mahu pulang ke negaranya seketika.

Sejak itu gadis itu dijaga oleh warga emas tersebut sehingga ke hari ini manakala bapa kandungnya, lelaki tempatan tidak diketahui kerana sudah berpisah dengan ibunya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan