32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Banjir: 53 terkorban, tiga masih hilang

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 53 kes mangsa korban bencana banjir dan tiga lagi dilaporkan masih hilang setakat pukul 6 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata Selangor mencatat jumlah kematian paling tinggi dengan 25 mangsa, membabitkan 17 lelaki dewasa dan lapan wanita.

Katanya, ia disusuli 21 kematian di Pahang membabitkan 15 lelaki dewasa, empat wanita dan dua kanak-kanak lelaki.

“Di Kelantan, empat korban banjir (tiga lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan), Sabah (dua lelaki) serta Negeri Sembilan (seorang lelaki).

“Mangsa banjir yang hilang membabitkan tiga lelaki dewasa dengan dua daripadanya di Pahang, manakala seorang di Sabah,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.

Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri sejak kira-kira tiga minggu lalu secara keseluruhannya dilaporkan semakin baik walaupun masih ada mangsa banjir berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sementara itu, dalam perkembangan aras air di negara ini, 12 sungai di enam negeri iaitu Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka, melepasi tahap bahaya setakat tengah hari ini.

Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan aras air di dua sungai di Pahang, satu di Selangor, lima di Johor, satu di Negeri Sembilan, satu di Terengganu dan dua di Melaka berada pada amaran merah.

Bagaimanapun, hanya tiga daripada 12 sungai itu masih menunjukkan peningkatan manakala dua sungai tidak mencatat perubahan aras air dan selebihnya sedang mengalami penurunan.

-EDISI9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan