24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Alat solek antara tuntutan ganti rugi RM3 juta diluluskan TTPM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK RM3 juta tuntutan diluluskan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi tempoh 2020 hingga 2021 dengan 413 tuntutan kes membabitkan barangan dan perkhidmatan yang dibeli pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu antaranya membabitkan bengkel membaiki kenderaan, pembelian alat-alat elektrik, alat solek dan pakaian.

“Jika ada aduan, ada masalah, lapor pada kita (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)), kita akan siasat dan syorkan untuk pergi kepada TTPM kerana itu hak pengguna,” katanya dalam segmen Ruang Bicara dengan tajuk ‘Pascabanjir: Tahu Hak Pengguna, Elak Teraniaya’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata, perkara paling penting adalah untuk pengguna menyimpan resit pembelian supaya dapat dijadikan sebagai bahan bukti dan memudahkan pihak penguat kuasa melakukan siasatan terhadap kes berkenaan.

Advertisements

Sementara itu, Rosol berkata, sehingga hari ini, KPDNHEP sudah memeriksa lebih daripada 1,000 barangan antaranya pakaian, alat ganti kenderaan dan peralatan di lebih 300 premis seluruh negara menerusi Op Cakna yang dijalankan sejak 1 Januari lalu, dengan fokus terhadap negeri terjejas akibat banjir.

Semalam, Rosol dilaporkan berkata, tujuan Op Cakna dilaksanakan untuk mengelak berlakunya aktiviti mengambil untung yang tinggi oleh peniaga ketika permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tertentu meningkat selepas banjir.

Katanya, fokus barangan antaranya peralatan elektrik, perabot, pakaian, alat ganti kenderaan dan bengkel kenderaan yang harganya tidak dikawal kerajaan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan