SERAMAI 451 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) disahkan positif COVID-19 dengan tujuh jangkitan baharu direkodkan secara keseluruhannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 71 kes penyakit berjangkit turut dikesan dalam kalangan mangsa banjir dengan paling tinggi membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) iaitu sebanyak empat kes.
“Turut direkodkan ialah dua kes penyakit kulit dan satu gejala acute gastroenteritis (AGE) ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 5,753 mangsa banjir yang masih terjejas ditempatkan di 86 PPS di tujuh negeri iaitu Pahang (41), Johor (19), Negeri Sembilan (10), Kelantan (lima), Melaka (lima), Terengganu (empat) dan Sabah (dua).
“Tiada kluster baharu dilaporkan pada hari ini dalam kalangan mangsa banjir di PPS. Ini menjadikan setakat ini 15 kes dilaporkan di PPS,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 kekal melepasi angka 3,000 dengan sebanyak 3,386 dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul jangkitan sebanyak 2,761,472 kes.
“Kes sembuh pula merekodkan sebanyak 3,547 kes dengan 2,688,925 kes kumulatif atau 97.4 peratus).
“Daripada kes baharu tersebut, kes import melibatkan sebanyak 346 kes (330 warganegara; 16 bukan warganegara) manakala kes tempatan melibatkan 3,040 kes [2,895 warganegara (95.2 peratus); 145 bukan warganegara (4.8 peratus)],” katanya.
Beliau berkata, terdapat 46 kes (1.4 peratus) yang dilaporkan hari ini adalah daripada kategori 3, 4, dan 5; dan 3,340 kes (98.6 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Sementara itu, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 273 kes (202 kes disahkan COVID-19; 71 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).
“Manakala, kes memerlukan bantuan pernafasan adalah sebanyak 159 kes (86 kes disahkan COVID-19; 73 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan),” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat lima kluster lagi dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,133 kluster dan kluster aktif mencecah 215 kluster. – Edisi 9