27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Penolong pegawai perubatan didakwa terima suapan RM1,750

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG penolong pegawai perubatan hospital kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan berkaitan hal ehwal pengurusan jenazah bernilai keseluruhan RM1,750.

Memetik laporan Metro Online, tertuduh, Mohd Fariq Ariffin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi keenam-enam tuduhan itu yang dibaca di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri suapan wang tunai berjumlah RM1,750 daripada Nur Azlan Azmi, 33, melalui akaun bank CIMB milik sendiri.

Suapan itu adalah sebagai upah melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal tertuduh sebagai ejen Kerajaan Malaysia iaitu Penolong Pegawai Perubatan Gred U29 yang bertugas di Hospital Kajang, dengan memberikan kerja pengurusan jenazah terhadap enam jenazah individu berbeza dari Unit Forensik Hospital Kajang kepada Nur Azlan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank cawangan Bercham, di Taman Mendan Bercham, di sini, antara 28 April tahun lalu hingga 5 Februari tahun ini.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika ia dapat dinilai atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Selain enam pertuduhan utama itu, pertuduhan pilihan turut dibacakan bagi setiap dari enam pertuduhan utama berkenaan iaitu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan yang dibacakan, Mohd Fariq sebagai penjawat awam menerima wang tunai RM1,750 juga daripada Nur Azlan melalui akaun bank sendiri, tanpa sebarang balasan yang mana diketahui ia mempunyai kaitan dengan tugas rasmi tertuduh di Unit Forensik Hospital Kajang bagi kerja pengurusan jenazah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman dengan tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sebelum mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan jumlah itu dengan seorang penjamin selain menetapkan 10 Januari depan untuk kes disebut semula.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu lapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM selain pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan untuk kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi menghadapi perbicaraan selanjutnya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan