25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Pemimpin UMNO perlu buat pengorbanan terbesar

Demi masa depan negara dan UMNO mengharungi PRU-15

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh SAIFUL BAHAR MOHD ARSHAD

PORTAL berita Agenda Daily menulis satu artikel berkaitan dengan UMNO yang mempunyai tiga lagi pemimpin sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Kononnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada dalam keadaan tersepit dan akan ketinggalan sekiranya pemilihan UMNO diadakan selepas PRU-15.

Kononnya juga, pemilihan UMNO akan memberi peluang kepada Ismail Sabri memberikan tentangan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan Presiden.

Perkara ini jelas tidak benar. Artikel tersebut bertujuan melaga-lagakan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat tertinggi menjelang PRU-15

Sesungguhnya UMNO akan berada dalam keadaan yang lemah sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO berbalah dan bergaduh merebut jawatan tertinggi parti.

Di peringkat bahagian juga sama, sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO berbalah, parti itu menjadi lemah dan akan rebah ketika berhadapan dengan PRU-15.

Oleh sebab itu UMNO sering mengadakan pemilihan parti sebelum PRU. Ini bagi memastikan akar umbi mempunyai pemimpin-pemimpin baharu yang akan diamanahkan membawa obor perjuangan parti dalam PRU.

Ini merupakan tradisi UMNO. Walaupun bukan satu kemestian, tetapi inilah yang dilakukan oleh pucuk pimpinan parti UMNO selama ini.

Begitu juga di peringkat pucuk pimpinan tertinggi parti. UMNO perlu menyelesaikan dahulu soal kepemimpinannya.

Apa yang menjadi persoalan yang perlu UMNO jawab, siapa pemimpin yang seharusnya diberi kepercayaan untuk terus membawa obor perjuangan ini ke dalam peperangan bagi menghadapi PRU-15?

Siapa individu yang difikirkan akan diterima oleh rakyat untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri dari UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

Advertisements

Akar umbi UMNO juga harus menjawab, sama ada Presiden UMNO yang masih berhadapan dengan pelbagai pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi, masih boleh dijadikan sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO?

Adakah ini langkah yang terbijak oleh UMNO? Adakah rakyat, pengundi-pengundi atas pagar dan pengundi muda akan menerima keputusan tersebut?

UMNO perlu belajar dari PRU-14. Dalam PRU tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tujuan beliau bertanding adalah untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri kerana kes 1MDB.

Najib pula pada ketika itu gagal untuk menerangkan kes 1MDB dan SRC International kepada rakyat.
Akibatnya, Rakyat menolak UMNO dan BN pada 9 Mei 2018.

Sekiranya ketika itu, Najib mengundurkan diri dan memberi laluan kepada Zahid, saya amat pasti UMNO dan BN akan dapat mengekalkan kuasa pemerintahan negara di Putrajaya.

Keadaan pada hari ini hampir sama. UMNO berhadapan dengan isu-isu yang sama. Presiden UMNO berhadapan dengan pertuduhan jenayah yang masih belum lagi selesai di Mahkamah Tinggi.

Kita tidak mahu memberi penghakiman sama ada Zahid bersalah atau tidak, tetapi rakyat melihat dan rakyat memerhati.

Justeru, kemungkinan jalan yang terbaik ialah para pemimpin UMNO tersebut, perlu berkorban.

Mereka perlu melakukan pengorbanan terbesar dalam sejarah politik beliau dengan memberi laluan kepada pemimpin UMNO yang lain untuk membawa obor perjuangan tersebut ke dalam peperangan PRU-15 nanti.

UMNO perlu mengadakan pemilihan parti dengan segera agar akar umbi dapat membuat pemilihan yang rasional, siapa individu yang difikirkan sesuai untuk meneruskan perjuangan tersebut.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada, juga berpeluang mendapat mandat yang baharu dari kalangan akar umbi bagi mengharungi PRU-15.

Sesungguhnya, PRU-15 akan menentukan hidup atau matinya UMNO di persada politik negara.

  • Penulis ada pemerhati politik. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan