27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Merdeka 118 tidak guna duit kerajaan, kroni – Najib

Mesti Baca

PEMBINAAN bangunan Merdeka 118 di Kuala Lumpur menggunakan wang Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan bukan wang kerajaan, Petronas atau kroni.

Perkara itu dijelaskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang bertanggung jawab ketika pembinaan bangunan tertinggi itu dicadang dan diluluskan.

Menurut beliau, bangunan tersebut akan menjadi milik PNB seratus peratus manakala pulangannya pula akan kembali kepada penyimpan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Bangunan Merdeka 118 ini dibina dengan duit PNB. Duit ASB. Bukan duit kerajaan atau Petronas mahupun kroni. PNB milik 100 peratus bangunan ini. Pulangan dari bangunan ini juga kembali kepada penyimpan ASB,” kata Najib hari ini.

Beliau mengulas pandangan seorang netizen yang menganggap pembinaan bangunan setinggi 678.9 meter dan mempunyai 118 tingkat itu dianggap sebagai membazir ketika rakyat sedang menghadapi kesulitan hidup.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan membina bangunan tersebut dibuat ketika ekonomi negara rancak di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ketika dividen ASB tinggi secara konsisten.

“Selain membuka peluang pekerjaan dan menaikkan nama negara, ia bakal menjana pulangan jangka masa panjang yang konsisten bagi jutaan rakyat yang simpan dengan PNB.

“Ini adalah satu cara untuk membina simpanan dan kekayaan bagi golongan miskin,” katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Merdeka 118 adalah pembangunan seluas 16 hektar dan 50 peratus daripada keluasan tanah tersebut terdiri daripada Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

“Merdeka 118 sudah mencapai tahap 85 peratus siap, pemasangan lantai telah mencapai tingkat 118 dan panel kaca telah dipasang sehingga tingkat 114.

“Walaupun berdepan dengan cabaran pandemik, dengan bangganya saya melaporkan bahawa menara ini dan penaiktarafan infrastruktur di sekelilingnya akan siap sebelum akhir 2022,” katanya semasa majlis penyempurnaan puncak menara Merdeka 118 oleh Perdana Menteri, akhir bulan lalu.

Zulqarnain berkata, aras tertinggi menara akan menempatkan muzium tekstil, kafe, kedai cenderamata dan anjung tinjau.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan