28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Langkah-langkah mencegah penyakit bawaan air semasa banjir

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

BANJIR bukan sahaja mengundang kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa kerana lemas, namun juga membawa pelbagai penyakit bawaan air seperti kolera, leptospirosis dan lain-lain.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap siaga untuk menerima kes-kes penyakit bawaan air dan keracunan makanan semasa dan pascabanjir.

Berikut langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penyakit-penyakit yang sering terjadi semasa musim banjir:

a. Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan melioidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar.

b. Gunakan alat pelindung diri seperti kasut dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.

c. Pastikan sumber air minuman telah dimasak dan makanan yang digunakan adalah bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A, dan acute gastroenteritis (AGE).

d. Sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, dan selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan.

Advertisements

e. Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kerana pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit pembiakan vektor. Semasa banjir, bekas-bekas air yang bertakung akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini boleh menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria.

f. Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan mengambil makanan yang terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam atau ada perubahan rasa, bau atau tesktur.

g. Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air serta elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ia dipastikan selamat.

h. Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di pusat penempatan sementara (PPS) atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika anda mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk, dan sebagainya.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan implikasi kesihatan akibat banjir dan SOP yang dirujuk adalah seperti berikut:

  1. E-Magazine MyHEALTH
  2. SOP Pengurusan Bencana NADMA
  3. Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di PPS

Sumber: FB Dr Noor Hisham Abdullah

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan