31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

UPSI gerak 220 sukarelawan bantu mangsa banjir

Mesti Baca

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggerakkan 220 sukarelawan membabitkan 130 pelajar dan 90 kakitangan dari beberapa pusat tanggungjawab dan persatuan universiti untuk menyantuni mangsa banjir di beberapa lokasi yang terlibat.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, selain menyampaikan sumbangan, UPSI juga menggerakkan sukarelawan bersama ResQ Team yang dibentuk beberapa tahun lalu untuk bertindak proaktif turun ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir bagi membantu membersihkan rumah mangsa.

“Beberapa persatuan membabitkan kakitangan dan pelajar digerakkan ke lokasi banjir untuk membantu mencuci rumah-rumah mangsa selain menyampaikan sumbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berganding bahu bersama universiti-universiti awam yang lain mencuci rumah-rumah mangsa banjir yang dipenuhi lumpur.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, antara barangan keperluan yang diterima daripada penyumbang ialah bantal, tuala mandi, tilam, tuala wanita, pampers, bantal, susu formula, sanitasi tangan, air mineral, peralatan mandi, makanan kering, makanan kucing, mainan serta biskut.

Beliau berkata, Pusat Kaunseling UPSI diketuai pengarah, Dr Pau Kee turut menggerakkan kempen agar orang ramai memberi sumbangan sama ada dalam bentuk wang tunai mahupun pakaian, dan barangan keperluan harian.

Sukarelawan UPSI membantu mencuci rumah mangsa banjir di Hulu Langat, Selangor.

Dr Pau Kee bersama sukarelawan menyampaikan sendiri sumbangan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Surah Al-Falad, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Esok, UPSI akan menghantar sumbangan kepada 29 keluarga yang menumpang di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Batu 4, Teluk Intan, Perak.

Mereka terdiri daripada 10 keluarga mangsa dari Batu 7, Jalan Changkat Jong, Batu 7 1/2, Lorong Mesra serta PPS di Dewan Bandaran Teluk Intan yang menempatkan 19 keluarga dari Kampung Baru, Batu 8, Teluk Intan.

Hari ini seramai 26 sukarelawan diketuai pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), Farizul Athir Mohd Ramli digerakkan ke Parit Mahang, Jeram, Selangor untuk membantu mangsa banjir mencuci rumah yang dikotori lumpur.

Sementara itu, Kesatuan Pegawai Am (KPA) UPSI bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) pula menggerakkan 30 sukarelawan ke Hulu Langat, Selangor untuk mencuci tujuh rumah mangsa bencana itu.

Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) menyediakan dana sumbangan sebanyak RM3,000, manakala UCTC memperuntukkan dana sebanyak RM2,720 untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Kami juga dibantu semua kolej kediaman untuk menyediakan sukarelawan selain menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan,“ kata Norkhalid.

Menurut beliau seramai 388 pelajar UPSI terkesan oleh musibah banjir turut mendapat simpati universiti untuk disalurkan sumbangan.

Mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung UPSI Prihatin boleh disalurkan ke akaun 0806-8010-0032-64 (Bank Islam Malaysia Berhad). – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan