33.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Kadar pengangguran negara terendah sejak April 2020

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KADAR pengangguran di Malaysia turun ke paras terendah sejak April tahun lalu dengan merekodkan 4.3 peratus pada Oktober lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial serta rekreasi secara berterusan, mendorong kedudukan tenaga buruh untuk kekal stabil pada Oktober lalu.

Menurutnya, ia digambarkan oleh bilangan guna tenaga yang lebih tinggi pada bulan berkenaan, manakala pengangguran merekodkan trend penurunan.

“Pada Oktober 2021, sebahagian besar negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) dengan peningkatan kadar vaksinasi keseluruhan, manakala bilangan kes harian COVID-19 menunjukkan tanda pengurangan.

“Perkembangan yang baik ini membawa kepada pembukaan semula aktiviti ekonomi termasuk kebenaran perjalanan rentas negeri.

“Di samping itu, lebih banyak destinasi pelancongan domestik dibuka kepada individu yang lengkap vaksinasi, sekali gus menggalakkan lebih banyak aktiviti perjalanan dan pelancongan domestik pada bulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, sehubungan itu, trend peningkatan penduduk bekerja berterusan pada Oktober lalu apabila mencatatkan pertambahan sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 65.8 peratus.

Sementara itu, menurut beliau, bilangan penganggur terus berkurangan sebanyak 3.4 peratus, merekodkan 705,000 orang berbanding 729,600 orang pada September.

Advertisements

“Walaupun bilangan penganggur berada dalam trend penurunan, secara relatifnya ia masih lebih tinggi berbanding tempoh pra-pandemik,” katanya.

Dari segi guna tenaga mengikut sektor ekonomi menurutnya, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; maklumat & komunikasi serta pengangkutan & penyimpanan.

“Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga kekal positif untuk bulan ketiga, manakala sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian masih dalam trend penurunan.

Merumuskan perkembangan itu, Mohd Uzir berkata pelaksanaan PPN mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan penduduk Malaysia.

Selaras dengan itu juga, katanya sebahagian besar negeri beralih ke Fasa 4 PPN, sekali gus membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial & rekreasi beroperasi semula.

“Seterusnya, pelonggaran sekatan perjalanan rentas negeri dijangka memberi kesan positif terhadap industri berkaitan pelancongan domestik bagi meningkatkan kembali momentum perniagaan termasuk aktiviti kesenian, hiburan & rekreasi serta pengangkutan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

10 mahasiswa UM sertai program selamatkan sayur-sayuran

SERAMAI 10 mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah menyertai program menyelamatkan sayur-sayuran dan...

Lagi Artikel Berkaitan