30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Banjir: JAIS kenal pasti 30 masjid, 60 surau terjejas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengenal pasti 30 masjid, 60 surau dan 30 sekolah agama yang terjejas teruk akibat banjir dan mengalami kerosakan, serta memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih segera, setakat semalam.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata hampir keseluruhan karpet masjid dan surau rosak, selain kelengkapan elektrik, sistem pembesar suara, sejadah, mashaf al-Quran, kitab dan bahan bacaan, perabot, alatan masjid, siling dan bumbung masjid perlu kepada kerja pembaikan agar dapat kembali berfungsi dengan segera.

“Institusi sekolah agama di bawah seliaan jabatan ini juga menghadapi situasi sama.

“Jabatan ini menjangkakan angka masjid, surau dan sekolah terlibat akan menjadi lebih besar ekoran paras air di beberapa daerah seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor mula naik sejak pertengahan malam tadi,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Justeru, beliau berkata, jawatankuasa khas JAIS peringkat negeri dan daerah ditubuhkan serta merta bagi menyelaras jenis dan bentuk bantuan kepada mangsa banjir melibatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS).

“Jawatankuasa bermesyuarat bersetuju untuk mengambil langkah segera menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan mengikut skop dan jenis bantuan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dan seterusnya di peringkat pasca bencana,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, jawatankuasa khas turut membuat keputusan menyalurkan bantuan kelengkapan 210 unit water jet bagi kemudahan masjid, surau dan sekolah, serta bantuan keperluan makanan basah di semua PPS di 36 masjid dan surau dari Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) berjumlah RM250,000.

“TIJARI, LZS dan TERAS akan terus menyalurkan sumbangan makanan kering dan keperluan harian di PPS yang lain. Turut diputuskan ialah penyaluran bantuan kelengkapan pembersihan oleh MAIS dan penggantian karpet masjid dan surau yang terjejas oleh LZS,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan usaha penyelarasan bantuan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan, Bilik Gerakan Khas diwujudkan serta-merta dan akan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang dan boleh dihubungi di talian 03-5514 3439 atau 03-5514 3761.

“Bilik Gerakan itu akan memberi informasi terkini masjid, surau dan sekolah yang terjejas serta maklumat lain yang diperlukan oleh mana-mana pihak dari dalam dan luar Selangor, berhubung hasrat menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa dan institusi terjejas banjir. -Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan