32.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, January 20, 2022

Kerajaan setuju tubuh jawatankuasa kaji syarat keistimewaan bekas PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JEMAAH Menteri bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti terma dan syarat permohonan penganugerahan rumah kerajaan bagi bekas perdana menteri akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jawatankuasa berkenaan akan meneliti kadar, syarat dan had maksimum atau kuantum bagi penyediaan tanah dan rumah bekas perdana menteri.

Menurutnya, permohonan dikemukakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi sebidang tanah dan sebuah rumah adalah selari dengan peruntukan dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237).

“Susulan permohonan Najib, kerajaan menawarkan tiga plot tanah kerajaan kepada beliau.

“Kabinet secara prinsip bersetuju untuk menganugerahkan permohonan berkenaan susulan hak beliau di bawah undang-undang.

“Bagaimanapun, keputusan ini belum muktamad dan tertakluk kepada pertimbangan lanjut dan kelulusan akhir kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan perenggan 21, Jadual Pertama Akta 237 menetapkan elaun dan keistimewaan bekas perdana menteri, membabitkan elaun kerajaan, pemberian khas bernilai RM1 juta secara ‘one-off’ dan tempat kediaman.

Bagi keistimewaan tempat kediaman, bekas perdana menteri mempunyai tiga pilihan sama ada rumah kerajaan berkelengkapan penuh dan diselenggarakan percuma; Elaun Sewa Rumah bernilai RM10,000 sebulan, jika mendiami rumah sendiri atau sebuah Rumah Kerajaan sesuai dengan status bekas perdana menteri ditawarkan secara percuma.

Terdahulu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilaporkan bercadang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan Memorandum Persefahaman (MOU) yang sebelum ini dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan pakatan itu, minggu depan.

Baca juga:   Muhyiddin harap jemaah menteri teruskan pemulihan negara

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, ini kerana memorandum persefahaman itu perlu dikaji semula susulan isu ‘hadiah’ RM100 juta kepada Najib yang dibangkitkan ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat dasar, oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat, semalam.

Baca juga:   UMNO berdepan risiko jika Najib kembali bertanding PRU-15

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat membangkitkan bagaimana isu hadiah itu tidak disebut dalam Bajet 2022 dan meminta Tengku Zafrul memberi penjelasan.

Bagaimanapun Tengku Zafrul berpendapat soalan itu lebih sesuai ditanyakan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana isu berkaitan Akta 237 terletak di bawah kementerian terbabit.

Ia kemudian mendorong beberapa ahli parlimen pembangkang bangkit untuk meminta penjelasan.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi ketika mencelah penggulungan Tengku Zafrul mengingatkan setiap perbelanjaan negara perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dan bertanya bila hal itu akan dilakukan.

“Apabila diluluskan,” jawab Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2022.

Tengku Zafrul turut mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta.

Bagaimanapun, beliau berkata, permohonan itu dikemukakan selepas pembentangan Bajet 2022 dibuat.

-EDISI9

Terkini

Tiga kelemahan pengurusan bencana negara dikenal pasti – PM

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakon berkata, kerajaan telah mengenal pasti tiga kelemahan ketara dalam pengurusan bencana hasil kejadian banjir...

Lagi Artikel Berkaitan