DATUK Seri Najib Razak menjelaskan bahawa beliau bukaanlah Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Barisan Nasional (BN) seperti didakwa banyak pihak.
Sebaliknya, kata Najib, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memikul tanggungjawab tersebut manakala beliau akan membantu mengadakan kempen habis-habisan.
“Apapun UMNO dan BN mesti bersedia dalam apa juga keadaan. Saya nak jelaskan di sini, Pengarah Pilihan Raya UMNO adalah Datuk Seri Mohamad Hasan, saya dikehendaki bantu kempen habis-habisan.
“Saya akan bersama Mohamad Hasan, saya percaya Perdana Menteri pun akan turun untuk bantu kita dalam kempen,” katanya lapor Astro Awani.
Mengulas lanjut mengenai PRN Melaka, tambah Najib, beliau yakin agenda yang dibawa BN dan UMNO dapat menambat hati pengundi di negeri itu.
“Saya dijemput bersama jentera wanita peringkat negeri dan nasional. Alhamdulilah, saya melihat semangat wanita sangat baik luar biasa dan bersiap sedia berjuang habis-habisan menjamin kemenangan parti kita.
“Selain daripada itu, saya ada sebut beberapa perkara untuk diberi perhatian parti dan kerajaan negeri supaya dijadikan sebagai antara agenda kita… lebih-lebih lagi kalau kita dipilih semula untuk mentadbir negeri Melaka,” katanya lagi.
Terdahulu, Najib mengadakan pertemuan bersama jentera UMNO di Masjid Tanah, Melaka yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.-Edisi 9