24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

RUU Kumpulan Wang COVID-19 dilulus Dewan Rakyat

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Kelulusan itu membolehkan kerajaan meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

RUU tersebut juga membolehkan kerajaan menaikkan had statutori hutang semasa daripada 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 65 peratus.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun meluluskan usul tersebut menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas bacaan kali ketiga.

RUU berkenaan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dibahaskan oleh 30 ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang.

RUU Kumpulan Wang Covid-19 yang pertama meluluskan peruntukan bernilai RM45 bilion pada September 2020, disusuli pindaan had siling daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion pada Disember 2020.

Had siling yang ditingkatkan pada waktu itu bertujuan untuk membiayai empat pakej pertama, iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin serta sebahagian dari langkah Belanjawan 2021.

Advertisements

Namun, Tengku Zafrul berkata, disebabkan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 awal tahun ini, kerajaan telah melaksanakan empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi iaitu Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih bagi mengurangkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ketika itu.

Bagaimanapun, katanya, keempat-empat pakej tersebut memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion.

“Ingin saya menekankan bahawa berdasarkan kedudukan semasa Kumpulan Wang Covid-19, Kementerian Kewangan mengunjurkan bahawa peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej-pakej tersebut.

“Ini adalah kerana sejumlah RM60 bilion telah dibelanjakan dan baki siling setakat hujung September 2021 adalah berjumlah RM5 bilion sahaja.

“Mengambil kira keperluan tambahan tersebut, serta prestasi ekonomi dan had statutori hutang bagi tahun ini dan 2022, adalah wajar supaya Akta 830 dipinda untuk menampung peningkatan had siling Kumpulan Wang Covid-19 kepada RM110 bilion,” katanya, lapor Utusan Online.

Tambahnya, cadangan itu melibatkan pindaan Akta 830 supaya had statutori hutang ditingkatkan kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 60 peratus sebelum ini serta pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Namun, dalam jangka masa sederhana, kerajaan masih komited terhadap langkah konsolidasi fiskal yang digariskan di bawah RMK12 dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan