28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerajaan pertimbang buka sempadan negara secara selamat

Membenarkan pelawat asing dari negara-negara tertentu yang telah lengkap divaksin memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN sedang mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara-negara tertentu yang telah lengkap divaksin memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perlaksanaan berkenaan adalah melalui program mutual recognition of vaccine certificate sepertimana yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain.

Menurut bekas Perdana Menteri, perkara berkenaan merupakan satu perkembangan yang positif dalam proses pembukaan sempadan negara.

“Saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan (business travellers) dan pelawat sosial untuk datang ke negara kita.

“Saya berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan satu aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN Kali Keempat di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin Yassin bersama ahli-ahli MPN dan wakil-wakil pembangkang semasa mesyuarat keempat di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur.

Muhyiddin berkata, cadangan tersebut adalah antara intipati penting mesyuarat tersebut yang dimulakan dengan taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai perkembangan terkini indikator-indikator Covid-19.

Menurutnya, mesyuarat kali ini turut melibatkan wakil-wakil dari parti pembangkang antaranya Wong Chen (PKR), Chong Chieng Jen (DAP), Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Amanah) dan Tan Sri Bernard Giluk Dompok (UPKO).

“Saya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti-parti pembangkang yang terlibat di atas penamaan wakil masing-masing sebagai Ahli Majlis ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa dengan penyertaan mereka, pasukan MPN yang lebih inklusif ini akan dapat memberikan sumbangan yang lebih holistik dalam merangka strategi dan usaha memulihkan segenap aspek kehidupan rakyat serta perniagaan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berpuas hati dengan perkembangan yang dicapai, khususnya dari segi penurunan kes-kes positif harian, penurunan ketara penggunaan katil-katil wad ICU bagi merawat pesakit Covid-19 dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang telah mencapai 95 peratus pada masa ini.

Menurutnya, mesyuarat juga telah memberikan fokus kepada dua kumpulan yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 iaitu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan rentan.

“Dalam hubungan ini, MPN telah membincangkan bentuk bantuan kepada PKS dalam fasa pemulihan terutama berhubung isu kecairan dan kekurangan tenaga kerja serta pengagihan bantuan makanan kepada golongan rentan.

“Mengambil kira pelbagai bantuan dan inisiatif sedia ada berkaitan kewangan dan penyediaan tenaga kerja kepada PKS di bawah pelbagai kementerian dan agensi, MPN berpandangan bahawa satu analisis yang lebih terperinci perlu dibuat untuk memastikan industri-industri yang terkesan berdasarkan statistik-statistik terkini dikenalpasti bagi memastikan penyelesaian jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang lebih berfokus dapat dilaksanakan segera.,” katanya.

Sehubungan itu, MPN bersetuju agar satu pasukan petugas khas dibentuk melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sumber Manusia dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan untuk memperhalusi perkara-perkara berkenaan isu pembiayaan, tenaga kerja dan lain-lain keperluan PKS.

“Pasukan Petugas Khas ini akan membentangkan kajian terperinci dan syor-syor dalam masa sebulan kepada Majlis untuk pertimbangan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan