31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Suruhanjaya Bebas Kanak-kanak dicadang ditubuhkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Suruhanjaya Bebas Kanak-kanak (SBKK) sedang dirangka untuk dicadangkan kepada kerajaan bagi melindungi dan memelihara kepentingan golongan kanak-kanak di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan penubuhan SBKK itu dibuat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Menurut beliau, SUHAKAM diberi tempoh dua minggu untuk menyediakan kertas kajian yang memperincikan mekanisme penubuhan SBKK tersebut, sebelum dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

Beliau berkata, selain penubuhan SBKK, jawatankuasa itu juga bercadang memperluaskan peranan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak (JSKK).

“Melihat kepada desakan keperluan penambahan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak kerana peningkatan kes yang tinggi direkodkan di setiap negeri, saya selaku pengerusi dan beberapa ahli jawatankuasa ini akan memohon untuk membuat kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara  untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan.

“Ia termasuk meningkatkan bilangan perjawatan khusus pegawai kehakiman gred Jusa C bagi Hakim Mahkamah JSKK,  membangunkan kapasiti dan memperkuatkan kerjasama pelbagai agensi untuk mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai undang-undang dan hak asasi manusia berkata, selain isu-isu tersebut, mesyuarat juga mendengar pembentangan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JMKRT).

“Tiga jawatankuasa kerja telah dibentuk dibawah Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JMKRT) iaitu Jawatankuasa Advokasi dan Pembangunan Kapasiti, Perlindungan dan Data yang menjadi model yang baik dalam menampilkan sinergi antara agensi dan NGO terlibat.

“Hala tuju penubuhan jawatankuasa ini bagi tujuan memperhalusi tindakan serta mekanisme perlaksanaan dan pengendalian kes secara holistik dan efektif termasuk menambahbaik aspek advokasi, perlindungan dan pelaporan data.

“Mesyuarat bersepakat untuk melibatkan ahli-ahli Jawantankuasa  Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial sebagai pemerhati di dalam JMKRT,” katanya.

Menurut beliau, untuk mesyuarat yang akan datang jawatankuasa ini mencadangkan agar menjemput pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk turut hadir ke dalam perbincangan seterusnya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan