JOHOR yang sepatutnya menjadi penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 pada tahun lalu dan kemudian jadualkan pada April 2021 akhirnya dibatalkan.
Walau bagaimanapun negeri itu tetap diberi peluang menganjurkan sukan terbesar di negara ini pada tahun 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembatalan Sukan Para SUKMA yang dijadual pada 8 hingga 13 Mac 2021 dan SUKMA Johor 2020 pada 2 hingga 10 berikutan penularan COVID-19.
“Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bersetuju agar penganjuran Sukan Malaysia 2022 oleh negeri Johor ditangguhkan kepada 2024,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaliknya penganjuran SUKMA bagi tahun 2022 dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau berkata, tarikh penganjurannya akan dibuat oleh MSN dan dibentang kepada Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
Katanya, tarikh tersebut kemudian akan dikemukakn dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan pelaksanaannya.
Faizal menjelaskan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang turut dihadiri oleh wakil dari negeri-negeri terlibat, termasuk kerajaan negeri Johor.
Mesyuarat itu katanya, turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia.
SUKMA dan Sukan Para SUKMA merupakan temasya sukan dwitahunan yang dianjurkan secara bergilir antara negeri-negeri di Malaysia.
Kali terakhir SUKMA diadakan di Perak pada tahun 2018. – Edisi 9