32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

MFL lega penonton dibenar hadir ke stadium

Kelab-kelab bola sepak yang terlibat dalam Piala Malaysia dibenar terima kehadiran penonton antara 5,000 hingga 20,000 orang

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIAN Football League (MFL) menarik nafas lega setelah kerajaan membenarkan penonton hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2021 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa.

Beliau berkata, bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3, 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4 sebanyak 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

“MFL mahu merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini telah mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan Ulang Tahun Ke-100 Piala Malaysia selepas kejohanan ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Ghani berkata, pihaknya memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan kelab masing-masing.

Ini termasuk segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau marshal pada hari perlawanan bermula dengan aksi minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Apa yang penting juga, hanya penyokong atau penonton sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

“Manakala bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga SOP-SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu yang telah dikeluarkan sebelum ini,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan