28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kerajaan Melaka tumbang, 4 ADUN umum tarik sokongan

Mesti Baca

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyatakan hilang kepercayaan terhadap beliau.

Empat ADUN yang mengumumkan tidak lagi menyokong kepimpinan Sulaiman selaku Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka (Sungai Udang) dan Nor Azman (Pantai Kundor) masing-masing dari UMNO/Barisan Nasional (BN), Noor Effandi (Telok Mas) dari Bersatu manakala Norhizam (Pengkalan Batu) yang bertanding atas tiket DAP, kini ADUN bebas.

Idris, Noor Effandi dan Norhizam Hassan masing-masing telah menyerahkan surat peletakan sebagai Exco Kerajaan Negeri bertarikh 30 September di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri, pagi ini.

Perkara itu disahkan Idris yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka itu dalam satu sidang media.

Idris berkata, penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang flip-flop serta tidak dilaksanakan dengan sempurna.

“Banyak keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana (meskipun) sudah diputuskan. Seolah-olah ada ‘dua singa atas satu gunung’, jadi menimbulkan keresahan kami dan menyedarkan kami untuk mengubah keadaan yang ada sekarang ini.

“Setakat ini, saya menyatakan, empat orang kami ini bersama dengan 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) memang tidak percaya dan tidak menyokong kepemimpinan kerajaan negeri, sekali gus membuktikan kerajaan negeri pimpinan Sulaiman sudah hilang majoriti sokongan.

“Saya melihat kepentingan rakyat di atas segala-galanya. Kalau semua tindakan kerajaan negeri tidak tepat dan tidak objektif dalam membela nasib rakyat terutama dalam suasana COVID-19 yang begitu mengekang, ditambah pula suasana ekonomi yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan, inilah tindakan kita.

“Insya-Allah, kita akan ada satu gagasan yang akan memberikan peluang lebih dalam soal kemajuan dan kebajikan rakyat,” katanya, seperti dilapor BH Online.

Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan empat ADUN ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan