33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

DSP disiasat buat ugutan jenayah terhadap wanita

Mangsa mendakwa diugut dan dicederakan kerana ketika ingin meminta semula wang yang telah dipinjamkan sebanyak RM100,000 daripada pegawai polis berkenaan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kes ugutan jenayah melibatkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) yang kini sedang tular dalam media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dalam kejadian ini merupakan seorang wanita berusia 36 tahun yang mendakwa telah diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang telah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis tersebut.

Menurutnya, hasil daripada siasatan yang dijalankan, pihak polis telah menahan dua individu yang dipercayai telah terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kertas siasatan telah di buka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arjunaidi menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan dan berhenti menyebarkannya di mana-mana media sosial susulan kes masih dalam siasatan polis.

Menurutnya, polis memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang.

Terdahulu tular di media sosial, mangsa membuat laporan polis, Khamis lalu, dengan mendakwa diugut oleh pegawai kanan polis terbabit dan seorang lagi lelaki selepas beliau cuba meminta pegawai berkenaan membayar semula wang dipinjamkannya sebanyak RM100,000.

Dalam laporan polis berkenaan, wanita terbabit mendakwa pegawai kanan polis yang bertugas di Negeri Sembilan itu serta rakannya secara berasingan telah mengugut dia dan keluarga kerana meminta wang pinjaman dipulangkan.

Wanita itu juga mendakwa pegawai terbabit bersetuju membayar balik wang berkenaan sekiranya perjanjian ‘membeli’ pangkat tidak berjaya. – Edisi 9

Terkini

Dewan Rakyat lulus RUU Pindaan AUKU 2023

DEWAN Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat...

Lagi Artikel Berkaitan