29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

14 pemandu mabuk termasuk seawal usia 20 tahun ditahan

Sebanyak 280 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 15 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 14 lelaki berusia 20 hingga 50 tahun ditahan polis susulan dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Samseng Jalanan, Motosikal dan Pelbagai Kesalahan Hujung Minggu di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur dari 22 Oktober sehingga hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam operasi berkenaan, kesemua pemandu mabuk berkenaan telah di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan disiasat di bawah Seksyen 45(A), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnya, bagi operasi samseng jalanan yang diadakan di Jalan Loke Yew, Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur telah menahan dan menangkap empat lelaki yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.

“Kesemua tangkapan berumur lingkungan 17 hingga 21 tahun itu telah di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

“Dalam operasi yang sama di Jalan Ipoh, polis telah menahan seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) AKK 1955 dan akan dituduh di bawah Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, secara keseluruhannya, Sarifudin menyatakan sebanyak 280 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 15 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubahsuai struktur kenderaan iaitu ekzos.

Menurutnya, motosikal yang telah disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JPJ serta diarahkan untuk diubah ke struktur asal.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan