32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

‘Town hall’ bincang isu gelandangan di ibu negara akhir bulan ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bakal mengadakan sesi town hall dengan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan atau individu yang aktif mengagihkan pelbagai bentuk bantuan untuk gelandangan di ibu negara, akhir bulan ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sesi perbincangan berkenaan adalah bagi mencari satu solusi atau kaedah terbaik membantu golongan gelandangan berkenaan.

Menurutnya, kebanyakan NGO khususnya yang berada di Lembah Klang, bergerak aktif dalam membantu kumpulan gelandangan terutamanya dalam inisiatif pemberian makanan.

“Selain miskin tegar dan golongan B40, kumpulan gelandangan di bandar-bandar besar sebegini menjadi tumpuan kepada mereka yang berhati mulia dalam memberi sumbangan makanan dan minuman, terutamanya NGO.

“Khidmat dan peranan yang dimainkan oleh NGO dalam mengurangkan beban hidup gelandangan ini wajar dipuji dan mendapat pengiktirafan atas dasar keprihatinan sesama manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalaluddin berkata, dia percaya NGO, syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan memiliki niat yang murni untuk melihat kumpulan gelandangan berkenaan tidak kebuluran di kota metropolitan kita.

“Walau bagaimanapun, secara tidak sedar kita sudah mencipta beberapa masalah sampingan terhadap nilai kemanusiaan dan kesejahteraan di bandar negara ini.

“Antara masalah dan cabaran yang sering berlaku adalah keadaan bandaraya yang semakin kotor. Manakala koridor bangunan serta laluan pejalan kaki dijadikan tempat perlindungan diri dan berteduh,” katanya.

Selain itu menurutnya, keadaan berkenaan juga mengganggu tahap kesihatan sejagat sehingga mengakibatkan risiko penularan wabak-wabak berbahaya dan berjangkit seperti COVID-19, denggi, taun, Penyakit Tuberculosis (TB) dan pelbagai lagi.

“Lebih merisaukan, keadaan tempat tinggal yang tidak selesa dan tidak bersih boleh mengakibatkan berlakunya masalah mental dalam kalangan kumpulan gelandangan ini.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka berterusan menjadi gelandangan. Mereka ini perlu dibantu untuk keluar dari “zon selesa” yang mereka “cipta” sendiri, dan pastinya pelbagai NGO mempunyai peranan untuk membantu menjayakan hasrat kerajaan ini,” katanya.

Menurutnya, antara langkah awal yang boleh dilakukan adalah dengan menyalurkan bantuan makanan ke beberapa tempat yang telah dikhususkan, bagi memudahkan proses kawal selia dan pengurusan gelandangan.

“Saya mengharapkan bantuan dan sokongan NGO serta pihak-pihak tertentu agar konsisten meneruskan usaha membantu kumpulan gelandangan seperti yang kalian telah amalkan selama ini.

“Malah, bagi melancarkan lagi usaha sama ini, saya mengharapkan agar segala pertolongan atau bantuan disalurkan ke pusat-pusat gelandangan yang telah disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

Beliau turut memberikan contoh, bantuan berkenaan boleh disalurkan di Medan Tuanku, Anjung Singgah dan Pusat Transit Gelandangan.

“Percayalah, platform yang telah disediakan ini adalah jauh lebih baik berbanding dengan keadaan dan amalan kita selama ini.

“Kita semua ingin membantu gelandangan, tapi biarlah bantuan yang kita berikan ini boleh menjadi satu titik tolak dalam perubahan kehidupan yang lebih baik buat mereka,” katanya.

-EDISI9

Terkini

50 keluarga asnaf terima bantuan pek makanan IR Malaysia

SERAMAI 50 keluarga asnaf menerima bantuan pek makanan daripada Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) sempena program MySinggah Ramadan yang...

Lagi Artikel Berkaitan