24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Sedia pastikan vaksinasi kanak-kanak 12-17 tahun dipercepatkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam memastikan inisiatif pelaksanaan vaksinasi kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. 

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin seramai 76,400 orang kanak-kanak yang berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak telah mula menerima vaksin COVID-19 pada hari ini, seterusnya menjadikan mereka sebagai kumpulan kanak-kanak pertama di Malaysia yang divaksinasi. 

“Ini merupakan satu indikator dalam membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kepentingan terbaik bagi kanak-kanak.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas kebajikan, pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak, saya menyambut baik perkhabaran gembira ini dalam usaha mengukuhkan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak di negara ini ketika mendepani pandemik COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di sini. 

Sehubungan dengan itu, menurut beliau, pihaknya sedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, seterusnya membantu pencapaian imuniti kelompok Keluarga Malaysia dengan lebih meluas.

Dalam masa sama, Rina menyeru semua ibu bapa dan penjaga agar terus meyakinkan kanak-kanak bahawa vaksinasi adalah satu bentuk perlindungan kesihatan yang selamat, agar tidak mudah dijangkiti daripada wabak COVID-19. 

Advertisements

“Teruskan memberi advokasi dan kefahaman tentang COVID-19 kepada kanak- kanak.

“Saya berharap ibu bapa sentiasa cakna, berwaspada dan sentiasa mematuhi SOP dalam menangani COVID-19 dalam melindungi keluarga masing-masing,”katanya.

Jelasnya lagi, ibu bapa dan penjaga mestilah mempunyai kesedaran dan mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat mengenai COVID-19 daripada sumber yang mempunyai kredibiliti untuk membendung berita palsu mengenai COVID-19.

“Sama-samalah kita menzahirkan kebersamaan dalam menjalankan tanggungjawab memerangi COVID-19 demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini, ” katanya. 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun bermula hari ini di Sarawak. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan