29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Muhyiddin tidak sepatutnya letak jawatan, kata kajian UKM

Mesti Baca

CYBERJAYA – Satu kajian persepsi awam menunjukkan sebanyak 92 peratus responden tidak bersetuju Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri sebagai pilihan bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik dalam negara.

Sebaliknya, sebahagian besar responden atau 49.3 peratus percaya Pilihan Raya Umum ke-15 patut diadakan, namun setelah pandemik COVID-19 terkawal.

Kajian yang dilakukan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga mendapati, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu terus memerintah dengan sokongan Pakatan Harapan (PH) berasaskan satu persefahaman yang dipersetujui bersama.

“Hanya 16 peratus responden percaya pilihan raya umum perlu diadakan segera dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagai jalan menyelesaikan politik negara,” menurut kajian tersebut, lapor Satu Berita.

Bertajuk ‘Kajian Persepsi Awam Terhadap Pengurusan Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Demokrasi di Malaysia’, kajian tersebut dilakukan seluruh negara menggunakan tinjauan bersemuka membabitkan 2,627 responden.

Hasil kajian pada bulan Mac dan April 2021 itu telah dibentangkan hari ini dalam Siri Seminar Webinar IKMAS oleh Prof Madya Helen Ting dan Prof Madya Andrew Kam.

Sementara itu berhubung isu lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen, kajian itu mendapati majoriti responden setuju ahli Parlimen berkenaan sepatutnya meletak jawatan dan pemilihan semula diadakan.

Sebanyak 34.5 peratus berpendapat wakil rakyat berkenaan tidak sepatutnya bertukar parti, 14 peratus bersetuju ahli Parlimen ‘lompat parti’ meneruskan tugas, dan lapan peratus berpendapat perbuatan tersebut hak ahli Parlimen berkenaan.

Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 Ogos lalu setelah hilang sokongan majoriti di Parlimen berikutan tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau cuba mengelak daripada berlaku krisis politik negara sekali lagi dengan menawarkan pelan kerjasama dengan semua parti termasuk parti pembangkang, namun tawaran itu dianggap sebagai sogokan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri Kelapan selama 17 bulan 16 hari setelah mengambil alih jawatan itu ekoran peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari tahun lalu yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO telah dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas mendapat sokongan 114 ahli Parlimen dan beliau mengekalkan hampir seluruh Kabinet Muhyiddin di bawah pentadbirannya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan