24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Melaka, Genting, Tioman pula dibuka kepada pelancong

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Tiga lagi lokasi percutian iaitu Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Menteri Kuartet hari ini selepas melihat perkembangan positif Projek Rintis Gelembung Pelancongan di Pulau Langkawi.

Katanya, keputusan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Dalam tempoh dua minggu, destinasi ini akan bersiap sedia untuk beroperasi semula.

“Kementerian bersama Jawatankuasa Khas akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas esok membabitkan ujian saringan memandangkan Melaka agak besar.

“Kementerian juga akan membentangkan tambahan destinasi pelancongan lain yang bukan hanya tertumpu di pulau tetapi di tanah besar,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Kerajaan telah membuka sektor pelancongan yang sebelum ini teruk terjejas berikutan pandemik Covid-19 dengan menjadikan Langkawi sebagai perintis gelembung pelancongan.

Di bawah gelembung pelancongan itu, orang ramai yang sudah lengkap vaksin Covid-19 dibenarkan untuk melancong ke pulau tersebut yang dibuka sejak 16 September lalu.

Advertisements

Kerajaan mensasarkan tempoh pembukaan destinasi baharu itu pada 1 Oktober depan, namun tempoh dua minggu akan diberikan kepada operator pelancongan untuk membuat persiapan rapi terutamanya membabitkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Nancy, ini berikutan prestasi baik yang dipamerkan pada fasa pembukaan Pulau Langkawi yang telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong sejak 16 September lalu.

Selain daripada aspek pematuhan SOP, jumlah pelancong ke pulau lagenda itu turut menunjukan prestasi memberangsangkan.

“Ketibaan penerbangan di Langkawi sejak 16 hingga 19 September merekodkan sejumlah 6,622 pelancong dan jumlah pelancong (yang tiba) melalui feri adalah 3,483 orang. Ini adalah angka yang kita perolehi secara tepat,” tambahnya.

Dalam sidang media sama, Ahmad Faizal berkata, kementeriannya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar membuka stadium bola sepak dan sukan lain kepada orang awam.

Beliau berkata, pembukaan itu kelak akan merancakkan semula aktiviti sukan di dalam negara.

“Kementerian akan berusaha untuk membuka lebih banyak lagi aktiviti sukan seperti gimnasium dan boling baru-baru ini.

“Apa yang penting pembukaan sektor sukan lebih banyak ini perlu datang dengan tanggungjawab terhadap SOP oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan