25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Gara-gara hantaran di Facebook, kereta dibakar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Gara-gara perselisihan faham berkaitan  pelbagai hantaran di Facebook telah berlarutan kepada pergaduhan sehingga sebuah kereta dirosakkan serta dibakar di Jalan BK 5, Bandar Kinrara, Serdang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4 petang selepas seorang lelaki menggunakan seketul batu dan bertindak merosakkan serta memecahkan cermin kereta Proton Waja yang parkir di bahu jalan.

Menurutnya, suspek dalam keadaan marah sambil menjerit dan membuat provokasi malah kereta terbabit turut dipecahkan lampu serta cermin belakang.

“Kejadian itu juga tular di media sosial FB di mana terdapat empat video berdurasi seminit 30 saat, seminit 26 saat, seminit 15 saat dan 47 saat.

“Seterusnya, pihak polis mengambil tindakan dengan menahan suspek terbabit sebelum turut menahan seorang lagi lelaki dan wanita bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata, rentetan daripada kejadian itu, kereta yang dirosakkan itu dilaporkan dibakar pada 8.40 malam.

“Hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengaku membakar kenderaan terbabit.

“Selain itu, seorang lagi lelaki yang juga pemilik kenderaan terbabit turut ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Menurutnya, kejadian dikatakan berpunca daripada pergaduhan dan perselisihan faham yang berlarutan berkenaan pelbagai hantaran dimuat naik di FB dan kesemua suspek yang ditahan itu berusia 36 hingga 42 tahun.

“Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi yang ditahan kerana membakar kereta disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan di luar batas undang-undang yang boleh mencetuskan kegusaran dan mengancam keselamatan awam,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Kolam selam tempur siap Jun, kalau tidak JKR jawab – MB

KOLAM selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz...

Lagi Artikel Berkaitan