28.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

Gagal buka mangga, 4 sekeluarga rentung dalam kebakaran

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Empat sekeluarga yang terkorban dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Hungap, Penampang Sabah, awal pagi tadi dipercayai gagal membuka mangga kunci di jeriji kecemasan pada tingkap, untuk menyelamatkan diri.

Memetik laporan Bernama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Md Ali Ismail berkata tiga mayat mangsa ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran tingkap itu, dan seorang lagi mangsa ditemukan dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula dari tingkat bawah rumah tersebut, bagaimanapun siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

“Keempat-empat mangsa berkenaan dipercayai sedar kebakaran itu, namun mangsa gagal untuk menyelamatkan diri kerana tidak dapat membuka mangga yang dipasang pada jeriji berkenaan.

“Apabila dalam keadaan panik, besar kemungkinan mangsa akan lupa di mana meletakkan kunci untuk membuka jeriji kecemasan tingkap berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Baca juga:   Sengketa punca celaka, harap tak celaka datang - Tok Mat

Mangsa dikenal pasti sebagai Matthew Wong, 50; dan dua anaknya Brendan Wong, 18, serta Eric Wong, 15, ditemukan di bilik tingkat atas berhampiran jeriji tingkap kecemasan, manakala isterinya Jecky Vun Kon Fung, 48, di dalam bilik air berhampiran bilik berkenaan.

Dalam kejadian itu JBPM Sabah menerima panggilan pada pukul 2.52 pagi, sebelum berjaya mengawal kebakaran pada pukul 3.40 pagi dan operasi di lokasi kejadian ditamatkan pada pukul 6.10 pagi.

Baca juga:   Nahas dua buah kereta di lebuh raya, tiga lelaki maut

Md Ali berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasang jeriji kecemasan tingkap rumah yang berkunci, agar mudah untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

“Kebanyakan kes kebakaran yang melibatkan kematian menunjukkan mangsa cuba keluar melalui jeriji kecemasan tingkap rumah berkenaan, namun gagal berbuat demikian kerana gagal membuka mangga yang berkunci,” katanya.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan