26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

758,919 ujian RTK-Ag, individu bergejala perlu jalani ujian

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 758,919 ujian pengesanan SARS-CoV-2 iaitu RTK-Ag (kendiri) telah dijalankan dengan 107,421 (14.5 peratus) dikesan positif COVID-19 sehingga 13 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berdasarkan laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

Beliau berkata, semua keputusan ujian COVID-19 amat penting dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan negara.

“Selain itu, menunjukkan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan melakukan ujian pengesanan SARS-CoV-2.

“Walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ujian pengesanan SARS-COV-2 di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta, namun dengan kerjasama orang ramai melakukan ujian saringan kendiri, jumlah ini dapat terus ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan trend bilangan ujian dan kadar positif bagi keseluruhan ujian pengesanan SARS-CoV-2 iaitu PCR, RTK-Ag (profesional) dan RTK-Ag (kendiri) mengikut Minggu Epidemiologi (ME).

Justeru, katanya, individu bergejala atau berisiko tinggi terutamanya kontak rapat diingatkan menjalankan ujian saringan COVID -19 dan melaporkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera.

“Saringan COVID -19 ini boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) atau hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan.

“Pengesanan awal kes COVID -19 dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) ini boleh membantu individu-individu untuk memantau kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat sekali gus mengurangkan kes brought-in-dead (BID),” katanya.

Beliau menambah, kit ujian RTK-Ag (kendiri) COVID-19 ini adalah mudah dan pantas untuk dijalankan di samping mempercepatkan proses individu yang positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutama golongan rentan dapat dikurangkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah,”katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri berkenaan Gelembung Pelancongan Domestik Projek Rintis Langkawi, kerajaan telah mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke sana bermula esok untuk menjalani ujian saringan sebelum memulakan perjalanan.

“Langkah ini untuk memastikan supaya Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan selamat kepada semua pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Ujian saringan ini boleh dilakukan dengan menggunakan RTK Ag (kendiri) seperti diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya.

Dalam masa sama beliau menyeru kepada semua pihak supaya berganding bahu bersama kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID -19 melalui pendekatan whole-of-government, whole-of society agar dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Ujarnya, pemerkasaan individu dan masyarakat dengan melakukan saringan COVID-19 terutamanya melalui RTK-Ag (kendiri) ini akan membantu negara ke arah mencapai matlamat tersebut. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan