27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Sultan Johor titah guru jadi contoh, jangan terpengaruh antivaksin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah kakitangan awam termasuk guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga, serta masyarakat.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan COVID-19.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah.

“Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.

Advertisements

Semalam media melaporkan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin COVID-19.

Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dilaporkan akan bertemu dengan Pengarah Pendidikan Johor dan 779 guru yang menolak menerima vaksin COVID-19 bagi mencari penyelesaian isu itu.

Sultan Ibrahim bertitah, semua rakyat Johor di harap mendapat suntikan vaksin dengan segera supaya boleh kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini.

“Saya berharap agar semua rakyat Johor dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa,” titah Tuanku Sultan Ibrahim.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan