34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

COVID-19 negara catat rekod melebihi 20,000 kes hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jangkaan bahawa kes harian COVID-19 akan melepasi angka 20,000 akhirnya menjadi kenyataan apabila hari sahaja sebanyak 20,596 kes direkodkan, sekali gus menjadikannya tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook berkata, pertambahan kes harian baharu tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 kini mencecah 1,203,706 kes.

Beliau berkata, Selangor kekal merekodkan kes baharu harian tertinggi dengan 8,549 kes dilaporkan.

“Diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,163 kes, Kedah (1,446 kes), Johor (1,300 kes), Sabah (1,062 kes) dan Pulau Pinang (1,022 kes).

“Negeri Sembilan (989 kes), Perak (916 kes), Kelantan (772 kes), Sarawak (759 kes), Melaka (622 kes), Terengganu (501 kes) dan Pahang (426 kes).

“Selebihnya, Putrajaya (50 kes), Labuan (15 kes) dan Perlis (empat kes),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan juga merekodkan peningkatan kepada 217,061 kes termasuk 1,078 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 549 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Angka sembuh harian pula mencatatkan sebanyak 13,893 kes juga tertinggi dilaporkan dengan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 mencecah 976,626 kes.

“Bagaimanapun, sebanyak 164 kes kematian lagi dilaporkan pada hari ini termasuk 14 warga asing melibatkan 89 lelaki dan 75 wanita dengan 22 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID), menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 sebanyak 10,019 kes, “katanya.

Menurut beliau, daripada jumlah kes hari ini, sebanyak 398 kes (1.9 peratus) adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala, 20,198 kes (98.1 peratus) daripada kategori satu dan dua.

“Ini berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID -19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 4,660 kes (22.6 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tambah beliau, mengikut kepada status vaksinasi COVID -19, sebanyak 114 kes adalah daripada kategori lima (kritikal dan perlu bantuan pernafasan) dengan 105 kes atau 92.1 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Selain itu, 79 kes kategori empat (radang paru-paru dan perlu bantuan oksigen) dengan 69 kes atau 87.3 peratus tiada sejarah vaksin manakala, 205 kes kategori tiga (radang paru-paru) dengan 144 kes atau 70.2 peratus tiada sejarah vaksinasi.

“Kategori dua (bergejala ringan) pula merekodkan 9,384 kes dengan 6,089 kes atau 64.9 peratus tiada sejarah vaksinasi manakala, 10,814 kes kategori satu (tiada bergejala) dengan 9,529 kes atau 88.1 peratus tiada sejarah vaksinasi,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 33 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 18 kluster tempat kerja, 12 kluster komuniti, dua kluster pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Berhubung kadar kebolehjangkitan pula katanya, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07 dengan negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Kelantan (nilai RT 1.31), diikuti oleh Terengganu (nilai RT 1.26) dan Perak (nilai RT 1.22).-Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan