27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Zahid jangka tragedi ‘katak melompat’ berulang

Mesti Baca

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya dalam tempoh beberapa minggu ini rakyat akan dapat melihat tragedi ‘katak-katak melompat‘ berulang sepertimana pada Mei 2018 lalu.

Beliau berkata, tragedi yang sama berlaku sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang menyaksikan beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti untuk bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Dengan nada menyindir, Zahid berkata, rakyat perlu tahu bahawa sifat ‘katak-katak’ bukanlah hanya mahu melompat semata-mata tetapi sama ada mencari habuan atau untuk menyelamatkan diri.

“Dalam tempoh beberapa minggu ini rakyat akan melihat sama ada tragedi ‘katak melompat’ berulang. Iaitu tragedi hitam yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Kena tahu sifat ‘katak’ bukan saja-saja melompat. Sama ada cari habuan atau mahu menyelamatkan diri. Sebab itu kita minta usul undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat disegerakan,” katanya menerusi Telegramnya hari ini.

Zahid berkata, langkah itu perlu segera dibuat sebelum lebih banyak yang terperangkap, terpedaya atau terpesona sehingga sanggup menjadi ‘katak’.

“Namun ingat rakyat sedang menilai jika ada wakil rakyat yang menjadi ‘katak’ seterusnya. Rakyat tahu apa perlu dilakukan ke atas ‘katak-katak’ ini apabila tiba masa PRU-15,” katanya.

Sebelum ini Zahid mengumumkan bahawa partinya telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Beliau berkata, surat akuan daripada ahli-ahli Parlimen UMNO telah dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan dengan ini telah terbatal.

Bagaimanapun, semalam, Muhyiddin menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan ahli Parlimen dan kerajaan PN masih berfungsi seperti biasa.

Bagi membuktikan perkata itu, beliau berkata, satu usul undi percaya terhadap beliau akan dibuat semasa sidang Parlimen pada September ini dan perkara itu sudah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Sehari sebelum Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan tersebut, media melaporkan 30 ahli Parlimen dari parti itu menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri.

Setakat ini dua ahli Parlimen UMNO secara terbuka mengesahkan sokongan mereka kepada Muhyiddin, sekali gus membelakangi keputusan MT UMNO.

Mereka ialah Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Kemelut terbaharu ini bermula apabila Istana Negara mengeluarkan kenyataan media untuk menyampaikan rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan berhubung pembatalan ordinan darurat pada 29 Julai lalu. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan