25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

5 NGO desak polis ambil tindakan Himpunan #Lawan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini, bertujuan mendesak polis mengenakan tindakan undang-undang tegas kepada penganjur Himpunan Keluar dan #Lawan di ibu kota pada Sabtu lalu.

NGO berkenaan terdiri Persatuan Anak Melayu Johor; Gabungan NGO 1Malaysia; Pertubuhan Sosial dan Minda Prihatin; Dewan Perundingan NGO dan Pertubuhan Salam Budi.

Laporan polis telah dibuat pada pukul 11.30 pagi, diwakili peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili lima badan NGO berkenaan.

Kamarudin berkata, laporan polis dibuat bertujuan meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas kerana penganjur Himpunan #Lawan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul beramai-ramai tanpa penjarakan sosial.

“Kehadiran begitu ramai peserta bakal mewujudkan risiko kluster perhimpunan.

“Oleh demikian, kami kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang berdiam diri ke atas peserta yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pada saat negara dilanda COVID-19 dengan angka semakin mengganas (Varian Delta), perhimpunan #Lawan mengancam kesihatan dan ketenteraman awam.

“Sehubungan dengan itu, kami desak polis bertindak tegas ke atas penganjur perhimpunan,” katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi hari ini.

Menurut Kamarudin, langkah tegas berlunas undang-undang itu penting bagi memastikan sebarang perhimpunan melanggar SOP PKP tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita masyarakat tidak mahu benda ini berterusan..janganlah, kalau tiada tindakan polis nanti, akan wujud lagi kumpulan membuat perbuatan sama, sampai bila kita kena kurung?

“Matlamat kita supaya tiada sebarang himpunan sebegini berlaku selepas ini dan perlu dipantau disusuli tindakan tegas polis,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan