32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

30 Ahli Parlimen BN tandatangan akuan sokong Muhyiddin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilapor telah menandatangani surat akuan bagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Ia diadakan dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan malam tadi.

Sinar Harian yang memetik sumber ahli Parlimen BN berkata, pertemuan sulit itu bermula pukul 9 malam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen BN (BN Backbenchers), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa dibuat memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

“Pertemuan itu dimulakan dengan majlis makan malam sebelum 30 ahli Parlimen BN yang hadir bersetuju menandatangani surat akuan mempertahankan Muhyiddin dan kerajaan PN.

“Pertemuan itu juga dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Arau (Shahidan) dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi ruang untuk memberi ucapan alu-aluan.

“Baki 10 ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan sebelum ini, tidak dapat hadir kerana notis pertemuan sulit itu diberitahu kepada mereka pada saat akhir.

“Namun, kesemua mereka dijamin akan menandatangani surat berkenaan melalui wakil yang telah dipertanggungjawabkan,” kata sumber ahli Parlimen BN dipetik sebagai berkata.

Pada 29 Julai, sidang Parlimen kecoh berikutan kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan berhubung rasa dukacita Yang di-Peruan Agong terhadap kerajaan berhubung pengumuman pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu.

Ekoran itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak hadir di Parlimen kerana menjalani kuarantin kendiri mengeluarkan kenyataan mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat.

Pada masa yang sama Zahid turut menyeru semua Ahli Parlimen UMNO menamatkan sokongan mereka terhadap Muhyiddin seperti mana ditetapkan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 7 Julai.

Namun pada hari yang sama Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa 40 Ahli Parlimen BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan PN.

Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa koalisi itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut selain menjelaskan perkara itu menjadi isu kerana penggunaan kepala surat BN.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan surat yang dikeluarkan Ismail Sabri dan ia hasil pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen terbabit di Tingkat 5 Parlimen.

Untuk rekod, BN mempunyai 42 kerusi di Parlimen dengan 38 kerusi adalah mewakili UMNO, dua oleh MCA manakala masing-masing satu kerusi milik MIC dan PBRS.

Sementara itu, Sinar Harian memetik sumber ahli Parlimen UMNO berkenaan menolak dakwaan terdapat satu lagi pertemuan melibatkan ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mewujudkan gerakan menukar Perdana Menteri pada waktu yang sama, malam tadi.

Jelas beliau, majoriti ahli Parlimen BN sudah bersetuju untuk terus kekal menyokong kerajaan PN untuk memberi fokus sepenuhnya dalam menyelesaikan krisis Covid-19 ketika ini.

“Tidak ada. Saya tiada dengar. Pertemuan malam ini (Ahad malam) pun sekadar untuk menunjukkan bukti sokongan ahli-ahli Parlimen BN kepada Tan Sri Muhyiddin menerusi surat akuan sokongan.

“Itu sahaja. Tiada gerakan lain hendak tukar PM (Perdana Menteri),” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan