30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Vape: NGO minta kerajaan nyatakan pendirian

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan supaya menyatakan pendirian berkaitan cukai eksais terhadap produk vape.

Lima NGO tersebut adalah Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) bersama Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Remaja Malaysia (MAAH), Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta IKRAM Health Malaysia.

MGLA dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu amat dikesali dan membimbangkan sekiranya semua kenyataan industri vape menjadi satu kebenaran, terutamanya ketika negara sedang dilanda wabak COVID-19 yang mengancam kesihatan rakyat dan meragut nyawa.

“Terdahulu, laporan beberapa media tempatan memaklumkan bahawa kutipan cukai bagi cecair vape boleh mencecah RM250 juta setahun.

“Hasil RM250 juta ini tidak menunjukkan betapa hebatnya sumbangan industri vape kepada ekonomi negara, sebaliknya ia hanya memaparkan hakikat betapa ramainya rakyat Malaysia kini ketagih kepada nikotin dan betapa lemahnya kerajaan dalam menangani ketagihan nikotin di negara kita.

“Angka ini bukan sesuatu yang terpuji, tetapi memalukan. Malahan, melalui kenyataan Dewan Perniagaan Vape Malaysia, mereka meminta agar kerajaan menghalalkan penjualan vape bernikotin, ini sesuatu yang membimbangkan.

“Mereka juga mengakui bahawa 97 peratus selebihnya adalah cecair vape bernikotin. Jualan produk yang ternyatanya haram di bawah Akta Racun 1952 harus dibanteras, apatah lagi dihalalkan dan dikenakan cukai.

“Jika penjualan sebegini dihalalkan, di manakah kewibawaan kerajaan dan undang-undang? Reputasi Malaysia sebagai Ahli kepada Kerangka Konvensi Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pasti akan turut tercemar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sejak kebelakangan ini juga, laporan yang dimuat naik ke laman-laman sosial telah menunjukkan bahawa kerajaan seolah-olah bersetuju untuk membenarkan penjualan cecair Vape bernikotin.

“Tulisan-tulisan dan berita sebegini telah mendapat sambutan positif dari pihak industri tembakau gergasi yang sedang menunggu untuk meneruskan perdagangan produk yang berisiko ini.

“Malahan peristiwa lobi-melobi secara terang-terangan berlaku di peringkat tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sepatutnya menjaga kepentingan kesihatan rakyat terutamanya ketika negara sedang berdepan dengan kesusahan.

“Semua kejadian ini memandu kita untuk mempercayai bahawa kerajaan seolah-olah telah bersetuju untuk meluluskan penjualan vape bernikotin dan seterusnya mengenakan cukai ke atas produk ini tanpa pengetahuan orang ramai.

“Sekiranya cadangan industri untuk membenarkan penjualan vape bernikotin diluluskan dengan begitu cepat sedangkan Akta Tembakau yang baharu sudah menunggu lebih daripada lima tahun, dan masih belum dibentangkan untuk kelulusan, jelas nampak kerajaan telah memilih untuk berdiri di pihak industri dan mementingkan keuntungan cukai semata-mata lebih daripada nyawa dan kesihatan rakyat, tanpa mengambil kira beban ekonomi tindak balas tersebut.

“Oleh itu, kami NGO yang berprihatin terhadap kesihatan golongan pemuda, wanita dan kanak-kanak serta pengguna secara keseluruhannya, dengan ini mendesak kerajaan untuk memaklumkan pendirian dan tidak termakan dengan cadangan industri serta mengikuti kehendak mereka yang rakus dalam mengaut keuntungan tanpa prihatin terhadap beban ekonomi kesihatan rakyat,” katanya.

Tambahnya, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh 58 NGO pada 9 Mei lalu, pihaknya turut bertegas mendesak agar kerajaan melarang sepenuhnya sebarang bentuk penjualan dan penggunaan produk vape sama ada mengandungi nikotin atau tidak mengandungi nikotin, sebagaimana yang telah dilaksanakan di negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Cambodia.

“Kami berharap pemimpin-pemimpin dapat membuka mata dan memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia.

“Cukup-cukuplah rakyat dibebani dengan pandemik COVID-19 yang tiada penghujungnya. Jangan ditambah lagi penderitaan rakyat dengan menghalalkan racun yang akan memburukkan lagi keadaan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan