24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pemberian dos vaksin 8.08 juta, 258,000 disuntik semalam

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 8,083,685 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sebanyak 2,309,018 orang telah menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan vakinasi mereka.

“Sebanyak 258,773 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, melibatkan pemberian 163,756 dos pertama dan 95,017 dos kedua,” katanya dalam hantaran Twitter beliau hari ini.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 303,050 orang, diikuti Sarawak (250,011), Johor (244,400), Perak (209,174) dan Kuala Lumpur (198,655).

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah meluluskan sektor perladangan dan komoditi sebagai sektor ekonomi keempat yang terlibat dalam program pusat pemberian vaksin (PPV) industri.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata tiga sektor ekonomi lain yang diluluskan sebelum ini adalah sektor pembinaan, pengangkutan dan pembuatan ataupun perkilangan.

Menurutnya, pekerja bagi keempat-empat sektor berkenaan yang dipercayai sebagai sebahagian besar daripada sektor ekonomi yang beroperasi sewaktu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara akan diberi perlindungan vaksin.

Advertisements

“Kami sedang perhalusi perancangan daripada sektor-sektor lain seperti sektor peruncitan dan sektor pelancongan yang mungkin kami akan mulakan kemudian berdasarkan kepada keutamaan dari sudut pengoperasian sektor-sektor mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) hari ini, lapor Bernama.

Khairy turut mengumumkan setakat ini, CITF telah meluluskan 27 PPV industri untuk sektor pembinaan, pengangkutan dan pembuatan ataupun perkilangan di bawah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata program itu setakat ini juga melibatkan 373,327 pekerja dalam ketiga-tiga sektor tersebut dengan sebahagian PPV berkenaan mula beroperasi hari ini, manakala sebahagian lagi pada minggu hadapan.

“Ini adalah jumlah yang kami telah rancang setakat ini berdasarkan kepada keperluan kita untuk mengawal wabak jangkitan COVID-19 mungkin kami akan tambah PPV industri berdasarkan kepada penilaian risiko dan laporan epidemik yang kami akan terima.

“Kalau ada satu risiko tinggi bagi sektor ekonomi tertentu, kami mampu dan boleh berikan vaksin ke sektor tersebut tetapi setakat ini, inilah perancangan yang saya nak umumkan hari ini,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Beliau memaklumkan PPV industri tersebut terbahagi mengikut negeri melibatkan Selangor dengan lima PPV, Pulau Pinang (empat), Kuala Lumpur dan Terengganu masing-masing tiga PPV, sementara Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang masing-masing dua PPV, manakala Sabah, Putrajaya, Perak dan Kedah masing-masing satu PPV.

“Kami berharap dengan adanya program vaksinasi industri, iaitu yang merupakan sebahagian daripada PICK, akan dapat melindungi pekerja sektor ekonomi yang beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara ketika ini,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan