30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kenderaan masuk Kelantan meningkat semalam

Mesti Baca

KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan peningkatan kira-kira lima peratus jumlah kenderaan dari negeri-negeri utara tanah air yang memasuki Kelantan melalui sekatan jalan raya di Jeli semalam.

Memetik laporan Kosmo! Online, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, peningkatan kemasukan kenderaan di sekatan jalan raya tersebut dikesan berlaku bermula waktu pagi sehingga pukul 12 tengah hari.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, dua sekatan jalan raya di Pasir Puteh yang merupakan pintu masuk dari Terengganu dan Gua Musang serta ibu negara dilihat tiada berlaku peningkatan kemasukan kenderaan setakat semalam.

“Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan di sekitar kawasan Kota Bharu juga meningkat sebanyak 15 peratus pada hari ini berbanding sebelumnya.

“Peningkatan kenderaan di Kota Bharu juga berkemungkinan orang ramai keluar untuk membeli barangan keperluan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya.

Tambah Abdullah, pemerhatian polis turut mendapati, peningkatan kenderaan yang berada di atas jalan raya di daerah Tumpat dan Machang juga meningkat lima peratus semalam.

Beliau turut menasihatkan perantau yang pulang ke Kelantan agar menyediakan dokumen yang lengkap dengan alasan kukuh supaya tidak menimbulkan masalah ketika mereka tiba di sekatan jalan raya untuk ke negeri ini.

“Namun, kita tidak menggalakkan perantau mengambil peluang merentas negeri untuk pulang ketika ini.

“Seeloknya, semua perantau tidak pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai tidak melakukan rentas daerah dan negeri untuk menyambut Aidiladha minggu depan.

Beliau berkata, pertambahan kes dan kluster akibat rentas negeri ketika menyambut Aidilfitri pada Mei lepas perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak.

“Rentas daerah dan negeri dalam Fasa Satu dan Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih belum dibenarkan, dan kebanyakan negeri masih berada dalam Fasa Dua.

“Saya harap masyarakat ambil iktibar daripada kejadian Aidilfitiri… meskipun rentas negeri tidak dibenarkan masih ada yang ingkar sehingga kes memuncak naik,” katanya.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan