29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Covid-19: Individu positif tidak bergejala tak perlu hadir ke CAC

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) memaklumkan semua individu yang positif Covid-19 dan tidak bergejala tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terlebih dahulu dalam usaha mengurangkan lonjakan kes di Lembah Klang dan beban kepada sistem penjagaan kesihatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong berkata, mereka akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari.

Selain itu, kata beliau, kumpulan berkenaan perlu melaporkan diri secara dalam talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-COVID atau SELangkah

“Kontak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala adalah digalakkan untuk melakukan ujian pantas Covid-19, sama ada di klinik berhampiran ataupun menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.

“Langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dilakukan di wilayah ini dan untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chee Keong berkata, ujian Covid-19 akan lebih mengutamakan individu yang bergejala (simptomatik).

“Bagaimanapun semua kes simptomatik Covid-19 masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian ataupun fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan. Perhatian penuh akan diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan serta bekalan lain tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata, langkah segera lain yang turut diambil termasuk Hospital Selayang akan ditukarkan sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 bagi kawasan Lembah Klang.

“Pesakit bukan Covid-19 di Hospital Selayang akan dipindahkan ke hospital swasta di wilayah tersebut untuk meningkatkan kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 yang berada pada Kategori 3, 4 dan 5.

“Operasi Selayang telah dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit COVID-19,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan