30.8 C
Kuala Lumpur
Friday, June 18, 2021

Zambry Setiausaha Agung BN, Azlan ketuai BN Perlis

Must Read

CYBERJAYA – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Pelantikan Zambry diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN yang diadakan secara hybrid dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

Sebelum ini jawatan tersebut dipangku oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengambil alih jawatan daripada Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan pada Januari lalu.

Ahmad Zahid berkata, Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga bersetuju melantik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Perlis yang baharu.

Sebelum ini, jawatan itu disandang oleh Tan Sri Shahidan Kassim.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional juga telah sebulat suara bersetuju melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri Perlis yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat agung tersebut.

Mesyuarat tersebut turut disertai oleh kesemua empat parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

Sebelum itu Zahid berkata, BN akan menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu pendaftaran vaksin khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk pedalaman.

Beliau berkata, BN juga menyeru semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pengawalan penularan Covid-19 yang masih membimbangkan.

Dalam mesyuarat tersebut turut dibentangkan Laporan Tahunan dan Laporan Kewangan BN bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengucapkan tahniah kepada Zambry atas pelantikan ke jawatan tersebut.

“Tahniah YB Dato Seri Zambry Abdul Kadir yang telah sah dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional yang baru. Selamat menjalankan tugas agar membawa sukses kepada BN demi negara tercinta,” katanya menerusi Facebooknya.

Latest News

Calon SPM, STPM 2021 terima suntikan vaksin bulan depan

CYBERJAYA - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun ini akan diberikan suntikan...

More Articles Like This