32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Suntikan vaksin harian catat rekod tertinggi 215,876 semalam

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kadar pemberian vaksin di seluruh negara terus meningkat dan mencatatkan rekod tertinggi dengan 215,876 dos diberikan semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) berkata, seramai 160,225 orang diberi suntikan dos pertama dan 55,650 lagi menerima dos kedua.

Kadar tertinggi sebelum ini ialah 197,963 dos yang diberikan kelmarin.

Sebelum ini Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan untuk memberikan purata 150,000 vaksin sehari bulan ini sebelum ditingkatkan kepada 200,000 suntikan sehari menjelang bulan depan.

Sementara itu, doktor swasta memberikan sehingga 10% vaksin setakat Jumaat lalu dan mereka dijangka boleh menyumbang sehingga 145,000 suntikan sehari menjelang Julai.

Advertisements

Dalam perkembangan berkaitan, Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi khususnya golongan pekerja akan dilancarkan hari ini di Selangor oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, selain Selangor, vaksinasi untuk sektor pembuatan itu juga akan dimulakan di Pulau Pinang dan Johor secara serentak yang akan memberi tumpuan kepada subsektor pembuatan kritikal.

Subsektor ini penting semasa Perintah Kawalan Pergerakan, memandangkan mereka adalah sebahagian rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti sistem penjagaan kesihatan awam, jelas kementerian itu.

“Program PIKAS dilaksanakan sebagai langkah responsif kepada cadangan daripada persatuan industri, dewan perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membantu mempercepat vaksinasi bagi rakyat khususnya pekerja, untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

“Ini amat penting dalam melindungi pekerja daripada risiko jangkitan COVID-19 kerana keselamatan mereka dapat memastikan ekonomi kembali rancak dan terus berdaya tahan,” jelas MITI. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan