24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pfizer, Sinovac, AstraZeneca sesuai untuk wanita hamil

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Vaksin Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai diberikan kepada golongan ibu mengandung berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun Pfizer kekal disyorkan manakala AstraZeneca dan Sinovac kini juga telah diklasifikasikan sebagai bersesuaian.

“AstraZeneca tidak lagi dikontraindikasikan kepada kehamilan dan Sinovac pula disyorkan oleh laporan interim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk ibu hamil dan menyusukan anak berikutan manfaatnya jauh lebih besar daripada potensi risiko yang dikaji,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy berkata setakat ini, hampir 109,607 pendaftaran vaksin bagi golongan ibu mengandung diterima di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 11,663 dijangka bersalin (EDD) pada Ogos ini dan golongan itu diberi keutamaan.

Katanya, lebih 10,000 ibu mengandung telah diberi janji temu dengan nota ‘Expectant Mother’ pada janji temu mereka.

Beliau berkata lebih kurang 6,000 ibu mengandung dijadualkan janji temu di PPV MITEC dan PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk menerima vaksinasi  hujung minggu ini dan ia berlangsung di seluruh negara dengan jumlah yang berbeza.

Advertisements

Ibu mengandung kekal menjadi penerima vaksin COVID-19 berkeutamaan tinggi berdasarkan risiko jangkitan COVID-19 untuk kumpulan itu, katanya.

Mengenai industri, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata sebanyak empat PPV industri sedang beroperasi manakala 19 lagi akan beroperasi menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata PPV industri minyak dan gas di Kerteh, Terengganu akan beroperasi pada 1 Julai dan PPV Industri Eastern Steel di Kemaman pula beroperasi pada 2 Julai. 

Beliau menjelaskan program vaksinasi sektor ekonomi akan diperluaskan ke industri lain dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Khairy berkata perancangan rapi sedang dibuat bagi mengelakkan kejadian kehabisan stok vaksin di PPV.

Mengakui terdapat beberapa PPV kehabisan stok vaksin, beliau berkata kadar penggunaan vaksin yang tinggi menyebabkan stok bekalan vaksin cepat habis.

“Kita ada penghantaran pada Julai, jadi perkara ini tidak akan berlaku. Kita mempunyai lebih lapan juta dos dan tujuh juta telah digunakan manakala sejuta dos dalam edaran,” katanya.

Beliau berkata seramai 99 peratus warga emas di Kuala Lumpur yang berdaftar sama ada telah divaksinasi atau mendapat janji temu untuk vaksinasi manakala Selangor mencatatkan 88 peratus. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan