29.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 21, 2024

Petugas media lalui syarat ketat sebelum layak diberi vaksin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Para petugas media perlu melalui syarat ketat sebelum layak menerima suntikan vaksin Covid-19 yang dikhaskan untuk golongan tersebut mulai Rabu ini.

Antara syarat yang dikenakan ialah media agensi yang diwakili perlu berdaftar dengan Jabatan Penerangan serta hanya mereka yang bertugas di lapangan seperti wartawan dan jurugambar sahaja dibenarkan.

Menurut sumber, permohonan mana-mana agensi media yang tidak berdaftar dengan Jabatan Penerangan atau petugas terbabit tidak terlibat dengan tugasan di lapangan akan ditolak.

“Ada agensi media yang menghantar nama-nama mereka tidak pergi tugasan, sebab itu kita perketatkan syarat,” kata sumber kepada Edisi 9.

Sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan suntikan vaksinasi COVID-19 bagi pengamal media di negara ini akan bermula pada 9 Jun ini.

Khairy dilaporkan berkata, pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar akan mula mendapat janji temu suntikan vaksin masing-masing hari ini.

“Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini,” katanya kepada media selepas melawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC di Kuala Lumpur yang mula beroperasi, hari ini.

Sumber itu berkata, sepatutnya suntikan vaksin untuk petugas media diberikan lebih awal namun banyak tapisan terpaksa dibuat.

Katanya, tindakan beberapa agensi media yang turut menyenaraikan nama petugas bukan wartawan dan jurugambar menyebabkan proses tersebut menjadi lambat.

Dalam sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) 28 April lalu, Khairy mengumumkan kira-kira 1,500 petugas media bakal menerima vaksinasi pada Mei.

Ketika ditanya nasib rakan-rakan media yang agensi media mereka belum diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Penerangan, sumber itu berkata, petugas media terbabit terpaksa menunggu giliran berdasarkan pendaftaran dalam aplikasi MySejahtera.

Sementara itu, seorang rakan media yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau agak kecewa sebab namanya ditolak berikutan agensi media yang diwakili belum diluluskan pendaftaran walaupun sering ke tugasan di lapangan.

“Saya harap syarat yang dikenakan itu dilonggarkan sedikit sebab kami pun turut bertugas di lapangan untuk mencari berita untuk media kami,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda ‘bungkus’ lebih awal

SKUAD Harimau Muda “pulang awal” dalam aksi Piala Asia Bawah 23 Tahun (B23) setelah tewas 0-2 kepada Vietnam dalam...

Lagi Artikel Berkaitan