28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

SLAM tangani isu tenaga kerja industri perabot

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) bagi pelaksanaan Program Skim Latihan Agrikomoditi Mahir (SLAM) Sektor Perkayuan yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan modal insan sektor perkayuan negara.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, industri agrikomoditi khususnya operasi kilang sektor perabot banyak bergantung kepada pekerja asing.

Menurut beliau, sektor berkenaan berdepan dengan cabaran yang serius untuk mendapatkan tenaga kerja sejak dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Justeru, kerajaan telah membuat keputusan untuk memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Usaha ini juga dapat mengurangkan kebergantungan sektor perabot terhadap pekerja asing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin memberitahu, SLAM dilaksanakan secara usahasama antara MTIB dan MFC iaitu melalui program latihan kemahiran yang menfokuskan kepada industri di lapangan.

Beliau menambah, jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti ini dilihat sebagai platform terbaik untuk membantu mengatasi isu kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor tersebut.

“Sasaran program ini adalah bagi melahirkan tenaga kerja dalam kalangan belia tempatan yang berkemahiran menerusi modul yang dibangunkan secara rekaan khusus mengikut keperluan pihak industri.

“Bermula tahun 2021, seramai 500 belia tempatan yang berkemahiran akan dilahirkan menjelang tahun 2023 dan sejumlah RM750,000 akan diperuntukkan bagi keseluruhan program ini.

“Modul latihan ini dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan yang melibatkan 30 peratus latihan secara teori dan 70 peratus latihan secara On Job Training (OJT) di kilang-kilang.

“Pelatih disediakan insentif latihan meliputi makan minum, penginapan, pengangkutan dan insuran secara percuma termasuk elaun bernilai RM500 sebulan,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berharap program SLAM Sektor Perkayuan mampu menarik minat golongan belia dan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran di seluruh negara untuk bekerja dalam sektor perkayuan.

Beliau berkata, manfaat kerjasama di antara MTIB dan MFC adalah dari segi pembangunan modal insan tempatan berkemahiran dalam industri perabot.

“MTIB melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) juga mempunyai kemudahan yang lengkap bertaraf Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk memberi latihan dalam bidang perkayuan dan pembuatan perabot.

“Pelbagai latihan kemahiran berasaskan kayu dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memperkasakan pembangunan modal insan yang sekali gus menyokong pertumbuhan sektor industri perkayuan di Malaysia,” katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, KPPK melalui MTIB akan terus giat melaksanakan pelbagai program latihan kemahiran dan pembangunan modal insan bagi membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja industri perkayuan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada belia-belia tempatan. – EDISI 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan