26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pemberian vaksin: Klinik perubatan swasta merasa dianaktirikan?

Mesti Baca

CYBERJAYA – “Kami hanya dibayar RM14 seorang untuk program vaksin Covid-19, sedangkan ada pihak lain mengaut keuntungan melalui pemberian vaksin.

“Bayangkan dengan bayaran sebanyak itu kami menanggung kos logistik, tenaga kerja tambahan, upah RELA untuk mengurus orang ramai. Tetapi kami langsung tidak dibenarkan mengenakan caj kepada peserta.

“Sedangkan ada pusat-pusat membeli belah yang mengikuti program PPV (Pusat Pemberian Vaksin) dan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM60 seorang untuk suntikan vaksin Pfizer atau Sinovac.”

Demikian keluhan seorang doktor am (GP) berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada Edisi 9, hari ini.

Beliau yang enggan dikenali berkata, doktor am seperti beliau juga perlu menjalani kursus tambahan seperti disyaratkan walaupun mereka merupakan doktor perubatan yang sudah diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMA).

Akhir Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, doktor-doktor am masih memerlukan persiapan kerana vaksin Covid-19 berbeza dengan vaksin lain.

Memetik laporan MalaysiaKini, beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, ini termasuk latihan asas penyimpanan dan penggunaan picagari khas serta lain-lain keperluan sebelum membenarkan mereka memberi vaksin kepada orang ramai.

Doktor am tersebut berkata, mereka merasakan seolah-olah dianaktirikan dalam isu PICK kerana dikenakan pelbagai syarat ketat untuk menyediakan perkhidmatan vaksin kepada orang ramai.

Sedangkan ada pihak bukan klinik seperti pusat membeli belah dengan sewenang-wenang mengenakan caj logistik dan pengurusan walhal bekalan vaksin diperoleh percuma daripada kerajaan.

“Kami bukan mahu mempersoalkan pusat membeli belah yang mengenakan bayaran tersebut kerana mereka mungkin tidak mahu menanggung kos tetapi kenapa kami para GP tidak boleh berbuat demikian?” katanya.

Beliau yang sudah lebih 10 tahun membuka klinik swasta berkata, kerenah birokrasi dan isu bayaran yang tidak setimpal antara sebab beliau tidak menyertai PICK walaupun mahu membantu menangangi pandemik Covid-19 dalam kalangan komuniti.

“Kita bukan mahu mengaut keuntungan, kami sedia memberikan vaksin dengan kos kami. Tetapi apa yang kami persoalkan kenapa pusat membeli belah boleh sedangkan kami dikenakan syarat ketat?” tegasnya.

Justeru, beliau berharap Khairy dapat memberi penjelasan berhubug isu tersebut memandangkan hal tersebut menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan doktor-doktor am. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan