32.8 C
Kuala Lumpur
Monday, September 20, 2021

Parlimen bersidanglah tapi jangan jadi gelanggang politik

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

BEBERAPA hari ini beberapa ahli politik dengan lantang mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen dengan segera, selaras dengan pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua semalam.

Macam-macam ayat digunakan antaranya ‘nak dapat kad merah ke’ dan ‘kalau mereka faham bahasa Melayu’. Dan ada juga yang bercakap soal jangan sampai dianggap derhaka.

Penulis tidak mahu mengulas desakan tersebut kerana itu hak mereka untuk berbuat demikian, cuma apa yang mahu diperkatakan ialah sejauh manakah pemimpin-pemimpin politik yang mendesak itu boleh memberi jaminan bahawa Parlimen yang bersidang tidak akan menjadi gelanggang politik?

Selagi ada yang bercakap soal perlunya perubahan, soal keabsahan dan undi tidak percaya tiada siapapun boleh memberi jaminan bahawa sidang Parlimen akan berjalan dengan tumpuan hanya kepada isu perbahasan mengenai Ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan isu-isu lain berkaitan menangani Covid-19.

Pasti ada yang akan cuba berpolitik sekaligus akan menyebabkan negara berhadapan dengan satu lagi masalah iaitu pertelingkahan politik ketika Covid-19 masih menular.

Oleh itu jika ahli-ahli Parlimen yang membuat desakan itu benar-benar ikhlas mahu membincangkan apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong  maka mereka jangan berpolitik ketika sidang Parlimen.

Apa yang membimbangkan setakat ini tidak ada mana-mana parti politik yang bercakap soal gencatan politik jika sidang Parlimen diadakan. Sebaliknya ia seolah-olah ada agenda politik yang mahu dilaksanakan ketika sidang tersebut.

Dalam keadaan kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program bantuan termasuk yang terbaru PEMULIH serta sudah meletakkan laluan ke arah Pelan Pemulihan Negara bagi membawa negara ini keluar daripada Covid-19, adalah tidak wajar jika negara dijebakkan pula dengan kekalutan politik.

Baca juga:   BN bertegas mahu Parlimen kembali bersidang

Rakyat sudah tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan satu lagi kemelut yang meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil. Kita faham sidang Parimen itu penting untuk ahli-ahli Parlimen memberi pandangan dan berbincang seperti mana kata Yang di-Pertuan Agong.

Baca juga:   Trak tunda bawa dadah RM23.72 juta, dua beranak ditahan

Tetapi yang meresahkan ialah kita mungkin akan menyaksikan kembali adegan jerit pekik dalam sidang Parlimen, kita akan dipertontonkan semula dengan sikap ahli Parlimen yang mendesak Speaker menentukan sama ada kerajaan sedia ada mempunyai keabsahan atau tidak. Itu belum lagi mengambil kira soal ada yang mendakwa mempunyai sokongan yang ‘kukuh dan menyakinkan’.

Semua ini hanya akan menyebabkan Parlimen menjadi gelanggang politik dan bukannya penyatuan hati semua ahli Parlimen untuk bersama-sama menangani pandemik Covid-19, walaupun mereka bagaikan ‘nak rak’ cakap soal memperjuangkan nasib rakyat. 

Oleh itu adalah penting untuk kesemua mereka memberi jaminan bahawa Parlimen tidak akan menjadi agenda politik atau platform untuk melunaskan dendam politik mana-mana pihak.

Penulis yakin kalaupun ia dilakukan tidak akan ada mana-mana parti yang akan mencapai majoriti, buatlah jajaran baharu ke, jajaran lama ke -sebaliknya kekecohan di Parlimen hanya akan ‘menghancurkan’ segala perancangan yang sedang dibuat oleh kerajaan bagi memerangi Covid-19.

Penulis percaya, ada banyak parti dan pemimpin politik yang menjadi musuh politik kerajaan menganggap mereka berpeluang untuk berkuasa atau kembali berkuasa. Sebab itu masing-masing cukup hebat mengkritik dan menyerang kerajaan sehingga ada yang dah jadi pakar statistik.

Apapun kerajaan buat semuanya tak betul..bentanglah sebaik manapun perancangan atau program, mereka hanya mahu mencari kelemahan, yang baik mereka ‘butakan mata’, yang ada kelemahan mereka hebahkan satu dunia.

Baca juga:   SKMM bertindak jika aplikasi Sugarbook langgar undang-undang

Bila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin umum bagi RM300,000 kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, berapa ramai yang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan?  Inilah sikap ahli politik kita.

Bagaimanapun sekarang bukan masanya untuk berpolitik. Kerajaan bukannya buta atau pekak dalam berhadapan dengan Covid-19. Pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan tetapi kalau semuanya diburuk-burukkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang ada agenda peribadi, apapun tak akan menjadi dan tak akan dilihat elok di mata rakyat.

Sebab itulah biarpun penulis bersetuju sidang Parlimen perlu diadakan tetapi pada masa sama, penulis bimbang Parlimen yang bersidang lebih banyak menyaksikan pertelingkahan politik, tuduh menuduh dan jerit pekik.

Baca juga:   'Galah sejengkal' antara ilusi PH, harapan orang Melayu dan realiti politik

Sememangnya kita boleh meminta jaminan daripada ahli-ahli Parlimen bahawa keadaan itu tidak berlaku kerana keterujaan sesetengah mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan sudah sampai ke tahap tertinggi sekarang.

Tetapi kalau betul mereka berjuang untuk rakyat maka mereka akan menjadi Parlimen sebagai gelanggang untuk menegur kerajaan secara berhemah bagaimana mahu memperbaiki kelemahan dalam menangani pandemik Covid-19.

Mereka boleh meminta dengan sopan sebarang penjelasan berhubung perbelanjaan kerajaan, Ordinan Darurat dan lain-lain berkaitan pandemik itu. Bukannya terus menuduh seperti berlaku dalam isu Lapangan Terbang Subang, tuduh macam-macam, bila kerajaan buat penjelasan kedudukan sebenar , orang Kedah kata ‘tak dak sepatah harampun nak minta maaf’ .

Inilah perangai ahli politik kita, jadi dalam keadaan kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 nak mengharapkan Parlimen yang akan bersidang tidak mungkin menjadi gelanggang politik – anggap sahaja ia ‘umpama mimpi dalam mimpi’.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Mengisi semangat patriotisme selepas 16 September

Oleh MOHD ZAINI OTHMAN MERIAH di corong radio memainkan lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarhan Sudirman Hj Arshad serta lagu-lagu...

Lagi Artikel Berkaitan